HALAMAN SANTAI

Khamis, 31 Mei 2018

Tubuh THM bersifat sukarela

Mohd Zaini Samsu Hadi
Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.


KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan menubuhkan Tabung Harapan Malaysia (THM) dianggap sebagai usaha yang bersifat sukarela.

Malah, ia juga bukanlah sesuatu perkara pelik sekiranya ada rakyat yang mahu menyumbang untuk menolong kerajaan membayar beban hutang, kata Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

“Tidaklah pelik jika ada yang cuba tolong pihak kerajaan bayar hutang. Ia satu usaha yang bersifat sukarela.

“Siapa mahu boleh berikan, siapa tidak mahu boleh biarkan,” tulisnya menerusi posting di Facebook.
Bagaimanapun katanya, sesuatu yang perlu dirasakan pelik ialah apabila ada pihak yang membuat hutang tetapi ditanggung oleh rakyat secara paksa tanpa rela.

“Lebih kejam lagi apabila pihak yang mengambil hutang itu bermewahan, sementara rakyat yang menanggung hutang hidup dalam bebanan.

“Apa yang ganjil lagi ajaib apabila ada kelompok yang pernah menyatakan mereka berpuas hati dengan isu penyalahgunaan harta awam tersebut,” tambah beliau di laman sosial itu.

Kerajaan Pakatan Harapan pada Rabu mengumumkan penubuhan THM khusus bagi membolehkan rakyat menyumbang untuk meringankan beban hutang negara.


Pengumuman dibuat oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang memberitahu, tabung amanah khusus yang dikendalikan oleh Kementerian Kewangan itu merupakan saluran untuk rakyat menderma bagi membantu kewangan kerajaan. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: