Pengerusi Kumpulan CIMB itu berkata, beberapa
pembaharuan GLC sebelum ini berjaya, tetapi 1MDB dan Felda bukan
sebahagian daripada program pembaharuan itu.
Bercakap kepada FMT, adik kepada bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, rangka kerja sedia ada berkembang daripada Krisis Kewangan Asia dan merangkumi syarikat strategik ditubuhkan kerajaan seperti Malaysia Airlines, Tenaga Nasional dan Telekom Malaysia (TM), serta syarikat baru seperti UEM dan Celcom.
“Reformasi GLC untuk menambah baik kepimpinan, prestasi dan tadbir urus berjaya dengan sangat sedikit yang gagal.
“Saya kenal syarikat-syarikat ini sebelum pembaharuan dan dan menyaksikan penambahbaikan amat besar. Tidak sempurna, tetapi jauh lebih baik.”
Beliau mengulas kritkan terhadap GLC di Malaysia, termasuk gesaan pengkritik Malaysia yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Dr M Bakri Musa mencadangkan kerajaan Pakatan Harapan memansuhkan semua GLC.
Nazir berkata, sesetengah syarikat sudah berdikari sepenuhnya dan peranan kerajaan hanya sebagai pemegang saham, jadi mungkin mereka tidak perlu digelar GLC lagi.
Beliau merujuk program transformasi 10 tahun diketuai Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) yang tamat pada 2015 dan melibatkan syarikat seperti Axiata, CIMB, Sime Darby, UMW serta TM.
“Malangnya, sesetengah GLC seperti Felda dan 1MDB bukan sebahagian daripada program pembaharuan diketuai Khazanah.”
Katanya, dalam mengkaji semula rangka kerja GLC, kerajaan harus mentakrifkan semula Permodalan Nasional Berhad dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja kerana mereka memegang amanah rakyat secara langsung.
Beliau berkata, kerajaan juga harus mengkaji status sesebuah syarikat sebagai GLC dari semasa ke semasa.
“Kerajaan harus memutuskan sama ada syarikat seperti Malaysia Airlines dan Tenaga adalah syarikat strategik dan perlu sentiasa menjadi GLC.”
Satu lagi isu, katanya, ialah peraturan menguruskan GLC, seperti sama ada ahli politik harus dilarang daripada menganggotai lembaga pengarah GLC.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata GLC semakin teruk dan menyimpang daripada matlamat asal membantu golongan miskin.
Katanya, GLC menjadi terlalu besar dan tidak terselia sehingga mereka tidak dapat dikawal untuk mematuhi dasar disokong kerajaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan