HALAMAN SANTAI

Sabtu, 26 Mei 2018

KAKITANGAN KONTRAK DIPERGUNAKAN BN – ABBAS

Wartawan Watan-Online



Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan (PH) tidak boleh dipersalahkan susulan tindakan memberhentikan 17,000 kakitangan kontrak lantikan politik.

Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Selangor, Abbas Azmi berkata, majoriti kakitangan kontrak yang dilantik bukan menjalankan tugas pentadbiran, sebaliknya semata-mata untuk kepentingan politik Barisan Nasional (BN) dan UMNO serta pihak tertentu.

“Yang patut dipersalahkan ialah BN dan UMNO. Kakitangan kontrak ini jadi mangsa apabila dipergunakan untuk menjalankan kerja parti.

“Amalan perlantikan berbelas-belas ribu kakitangan kontrak merupakan amalan tidak elok serta perlu diberhentikan.

“Selain itu, pemberhentian kakitangan kontrak ini langsung tidak menjejaskan pentadbiran Kerajaan Persekutuan,” katanya kepada Watan Online pada Jumaat.

Abbas berkata, kakitangan kontrak perlu mengakui risiko yang perlu dihadapi, termasuk boleh diberhentikan pada bila-bila masa.

Sebelum ini, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan akan memberhentikan
17,000 kakitangan kontrak lantikan politik dalam usaha menurunkan perbelanjaan kerajaan, kerana banyak pembaziran dalam perkhidmatan awam.

Dr Mahathir bagaimanapun berkata kakitangan bergaji rendah, seperti pemandu, tidak akan disingkirkan.

Tiada ulasan: