Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berkata beliau hairan bagaimana ekonomi negara didakwa pulih dalam tempoh yang singkat selepas dikatakan sebelum ini dalam keadaan krisis.
"Saya hairan betapa cepatnya ekonomi negara bertukar dari kononnya dalam keadaan krisis dan gagal sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14) kepada keadaan ekonomi yang kuat dan kukuh.
"Cuma dua minggu lebih sahaja? (diambil oleh kerajaan untuk pulihkan ekonomi)," katanya secara sinikal melalui Twitter.
Kenyataan itu dibuat sebagai mengulas artikel yang disiarkan semalam yang memetik Menteri Kewangan Lim Guan Eng sebagai berkata bahawa Malaysia masih mempunyai asas ekonomi yang kukuh.
"Kita perlu ingat bahawa asas ekonomi Malaysia masih kuat dan kukuh," kata Lim ketika mengulas berhubung keadaan semasa ekonomi negara.
Sebelum PRU14, pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) sering mendakwa ekonomi negara dalam keadaan tenat dan sedang menuju bankrap.
Pengerusi HARAPAN yang juga merupakan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad minggu lalu mendakwa hutang negara melebihi RM1 trilion.
Bagaimanapun, Lim pada Khamis lalu menjelaskan jumlah RM1 trilion itu termasuk RM199.1 bilion dalam jaminan kerajaan dan RM201.4 bilion dalam bayaran pajakan untuk kerjasama awam dan swasta.
Jumlah hutang sebenar adalah RM686.8 bilion atau 50.8 peratus keluaran dalam negara kasar yang dipetik Najib di bulan terakhirnya menjadi perdana menteri
Tiada ulasan:
Catat Ulasan