HALAMAN SANTAI

Khamis, 7 Februari 2019

Akar umbi Umno: Gaji peneroka Felda hanya RM400 sebulan

MALAYSIAKINI

   
Ketua Pemuda Umno Bahagian Pengerang, Aznan Tamin mendakwa gaji peneroka Felda kini hanya RM400 sebulan bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

"Hari ini, peneroka sudah merasa kesannya dan generasi baharu pun sudah mula merasai apabila ketiadaan pelbagai insentif termasuklah dengan penurunan harga sawit terumbang ambing," katanya.

"Pendapatan mereka yang sebelum ini lebih RM3,000, kini hanyalah RM400 sebulan," dakwa beliau lagi.

Dalam kenyataan hari ini, Aznan juga menegaskan janji PH untuk menghapuskan 50 peratus hutang peneroka Felda merupakan janji tidak masuk akal.

"Anda bayangkanlah sekiranya peneroka meminjam RM120,000 mereka perlu membayarnya hanya RM60,000 kepada Felda, begitu juga dengan amaun lain, sama ada sedikit atau banyak, semuanya dijanji hanya perlu membayar 50 peratus sahaja hutang.

"Adakah ini janji masuk akal atau waras? Hal ini bertambah rumit apabila harga komuditi kelapa sawit yang turun dengan mendadak menyebabkan peneroka bertambah sengsara dan susah," katanya.

Di mana Mazlan Aliman?

Sementara itu, Aznan turut membangkitkan persoalan ke mana “hilangnya” Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman yang kini dilantik sebagai pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang Malaysia (LPP).

"Di mana Mazlan Aliman, pengerusi Anak? Beliau pun telah menerima gelaran Darjah Pangkuan Seri Melaka yang membawa gelaran Datuk pada 10 November tahun lalu berkemungkinan atas jasanya yang banyak berjanji dan membeli nasib peneroka Felda.

"Beliau yang banyak memberi komentar dan lantang mengkritik pentadbiran Felda tidak pula dilantik sebagai Pengerusi Felda sebaliknya ke jawatan lain. Aneh sungguh.

“Tapi kemungkinan PH tahu bahawa Mazlan Aliman juga hanya jaguh untuk bercakap sahaja tetapi tidak melaksanakan. Lihatlah, apakah pembaharuan yang telah dibawa dalam LPP? "sindir Aznan lagi.

Tiada ulasan: