HALAMAN SANTAI

Rabu, 6 Februari 2019

Pemuda Umno Selangor ajak Uncle Kentang 'ajar PH'

 
   

PRK SEMENYIH | Pemuda Umno Selangor mengajak aktivis masyarakat Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang untuk membantu memenangkan calon BN pada 2 Mac ini.

Ketuanya, Rizam Ismail, berkata Kuan tidak perlu menyertai PRK itu sebaliknya perlu besama-sama BN bagi memberi pengajaran kepada PH.

Bagaimanapun Rizam mengakui sebagai negara yang mengamalkan demokrasi, Kuan berhak untuk bertanding sebagai calon bebas.

"Ini negara demokrasi siapa yang nak bertanding boleh, tetapi adalah lebih baik jika dia (Kuan) membantu calon BN untuk tunjuk rasa tidak puas hati terhadap kerajaan PH.

"Itu lebih penting, kerana jika menang PRK ini ia tidak merubah apa-apa (dari segi kerajaan), namun dapat menghantar isyarat atau amaran pada PH," katanya.

Menurut Rizam kalau PH berjaya dikalahkan, bolehlah selepas itu Kuan terus berkhidmat walaupun tidak bergelar yang berhormat.

Katanya BN mahu memberi pengajaran kepada PH agar bagi mengelakkan "rakyat terus ditipu".

"Penting untuk BN memberi pengajaran kepada PH, kalau tidak rakyat terus ditipu," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan Kuan yang juga Presiden Kepolisan Masyarakat Malaysia (CP) menyatakan hasrat untuk bertanding dalam PRK Semenyih.

Dia berkata, keputusan terbabit diambil bukan untuk mengejar populariti atau meraih kemenangan, sebaliknya mahu berkhidmat untuk rakyat.

Selain iti dia mendakwa kecewa terhadap pemimpin politik hari ini yang lebih banyak "mengubah nasib diri sendiri" dan bukannya memperjuangkan kepentingan rakyat.

"Hidup kita sekejap saja, lepas ini saya akan mati, itu pasti. Tapi sebelum itu saya mahu berkhidmat untuk rakyat kawasan Semenyih.

"Saya bertanding untuk anak-anak Semenyih, mereka masih memerlukan pembelaan," kata Kuan.

Sementara itu Rizam berkata, Pemuda Umno Selangor berharap anak muda yang juga muka baru dan bersih dipertaruhkan BN pada PRK itu nanti.

Katanya, pihaknya juga telah menghantar beberapa nama kepada pucuk pimpinan parti yang difikirkan layak untuk diangkat sebagai calon BN.

"Kita serah pada pucuk pimpinan untuk memilih calon muda yang berkaliber, sebaik-baiknya anak tempatan.

"Kalau orang luar pun Pemuda akan sokong asalkan yang berkaliber dan bersih," katanya.

Tiada ulasan: