HALAMAN SANTAI

Selasa, 5 Februari 2019

Peniaga Uptown Puchong Permai nafi operasi tiada kebenaran

 

   
Peniaga Uptown Puchong Permai menafikan dakwaan Adun Seri Serdang Dr Siti Mariah Mahmud bahawa bazar larut malam itu dibina tanpa kebenaran.

Menurut anggota Jawatankuasa Persatuan Peniaga Uptown Puchong Permai Zulfahmi Mohd Affandi, operasi uptown tersebut mendapat kelulusan, malah lesen berkelompok juga telah diberikan kepada peniaga pada 2011.

“Meter TNB pernah masuk, meter air Syabas (Syarikat Bekalan Air Selangor) boleh masuk, macam mana kata tak ada lesen?” katanya ketika ditemui Malaysiakini semalam.

Katanya, sebelum diambil alih oleh Persatuan Peniaga Uptown Puchong Permai pada 2014, pengurusan operasi uptown itu pernah diuruskan oleh dua syarikat.

Zulfahmi bagaimanapun berkata lesen berkelompok peniaga tidak diperbaharui pada tahun berikutnya (2012) manakala kontrak tanah untuk tapak uptown dibatalkan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) pada 2014.

Beliau tidak memaklumkan sebab lesen tidak diperbaharui, tetapi mendakwa pembatalan kontrak tanah ekoran "masalah dalaman syarikat pengurusan" ketika itu.

Namun, katanya lagi, operasi uptown itu tetap di bawah pengetahuan MPSJ.

Malah beliau berkata pada 2014, satu pertemuan telah diadakan antara MPSJ, syarikat pengurusan ketika itu dan para peniaga bagi membincangkan soal pembatalan kontrak tanah.

“Selepas kontrak dibatalkan, syarikat pengurusan sudah tak boleh uruskan, jadi persatuan ambil alih.

“Ahli Majlis Zon JKP 14 berkemungkinan tahu semua perincian ini, kerana dia sudah lama di sini.

“MPSJ pun selalu datang sini untuk kemas kini (maklumat peniaga), baru dua minggu lepas mereka datang (untuk) ambil maklumat persatuan,” katanya lagi.

Uptown Puchong Permai dilanda kebakaran pagi 2 Februari lalu, memusnahkan kira-kira 200 lot kedai dan mengakibatkan kerugian kira-kira RM1 juta.

Ketika dihubungi Malaysiakini semalam, Siti Mariah berkata penganjur turut bertanggungjawab terhadap insiden yang berlaku dan usaha mengesan mereka kini sedang dijalankan.

Siti Mariah turut mendakwa uptown yang dibina pada 2011 itu tidak mendapat Kebenaran Merancang (KM).

KM merujuk kepada kebenaran secara bertulis daripada Pihak Berkuasa Perancang Tempatan (PBPT) setelah kelulusan tukar syarat tanah diperoleh dan dibuat sebelum proses pelan pembangunan diteruskan.

Sementara itu, Zulfahmi berkata para peniaga kini berusaha mencari bantuan setelah kehilangan punca pendapatan, terutama untuk mendapatkan lokasi baru untuk mereka menjalankan perniagaan.

“Esok kami akan pergi berjumpa pihak zakat, dan Khamis ini kami akan cuba tanya MPSJ tentang penempatan semula, (mungkin) untuk buka khemah.

“Kami juga cuba cari (bantuan) daripada sumber-sumber lain. Tengok macam mana, apa yang boleh membantu kita,” katanya lagi.

Bagi sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan buat para peniaga, boleh menghubungi Persatuan Pengguna Uptown Puchong Permai.


Tiada ulasan: