HALAMAN SANTAI

Khamis, 7 Februari 2019

Sentimen Melayu untuk raih undi di Semenyih - Penganalisis

 
   

PRK Semenyih | Mahu tidak mahu Pakatan Harapan (PH) perlu mengikut rentak pembangkang dengan memainkan sentimen Melayu-Islam bagi meraih undi pada pilihan raya kecil Semenyih, kata seorang penganalisis politik.

Menurut pensyarah kanan program sains politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor, PRK Semenyih bakal menjadi medan pertempuran bagi meraih undi orang Melayu.

“Kalau cerita perkara yang tak melibatkan kepentingan Melayu (ketika kempen), ia kurang menarik perhatian dan kurang popular.

“Katalah jika kawasan itu kawasan pengundian bercampur, 50-50 antara Melayu dan bukan Melayu, mereka (pembangkang) akan kurang cenderung pergi ke (mengambil pendekatan) ‘kanan’.

“Tapi kali ini, hampir 70 peratus pengundi Melayu. Saya ingat, nak tak nak, pihak kerajaan yang akan diwakili Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) pun terpaksa mainkan sentimen Melayu,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Selepas kekalahan BN pada PRU-14, 9 Mei tahun lalu, Umno dilihat semakin akrab menjalin kerjasama dengan PAS dan sentiasa membangkitkan isu kedudukan orang Melayu dan agama Islam dalam kempen mereka.

Terbaru, pada PRK Cameron Highlands lalu, kerjasama itu berjaya membawa kemenangan kepada calon BN, Ramli Mohd Nor yang menewaskan calon PH, M Manogaran.
Tambah Dr Nadzri, biarpun golongan muda dan ‘rasional’ merupakan peratus agak besar dalam komposisi pengundi Melayu di Semenyih, mereka masih menganggap isu Melayu dan Islam sebagai hal penting buat mereka.

BN-PAS ada kelebihan

Memandangkan peratus pengundi Melayu di Semenyih mencecah 68 peratus manakala pengundi bukan Melayu hanya 32 peratus, Dr Nadzri menjangkakan isu Melayu-Islam di Semenyih akan lebih hebat dimainkan berbanding PRK Cameron Highlands 26 Jan lalu.

Mengakui pendekatan BN-PAS dalam isu Melayu dan Islam ‘terlalu kanan’ dan ‘kurang cocok’ dengan keadaan Malaysia yang pelbagai agama dan kaum, untuk PRK kali ini, kerjasama tersebut dilihat mempunyai kelebihan.
“Undi bukan Melayu memang signifikan, tetapi BN-PAS tak boleh buat apa-apa kerana itu macam dah jadi ‘cash deposit’ untuk PH.

“Tapi kelebihan pada BN-PAS kali ini, yang menentukan keputusan adalah undi orang Melayu,” katanya lagi.

Justeru, beliau menjangkakan isu-isu Melayu dan agama Islam akan dimainkan bagi menguja emosi dan menarik ramai pengundi untuk turun pada PRK itu nanti.

10 peratus jadi penentu

Daripada 12 peratus yang tidak keluar mengundi pada PRU-14 lalu, beliau menganggarkan sepuluh peratus daripadanya adalah orang Melayu yang mampu menjadi faktor penentu dalam PRK Semenyih nanti.

“Lebih kurang dalam sepuluh peratus daripada lebih 50,000, maknanya 5,000 lebih (undi). Kalau mereka boleh pengaruh Melayu untuk turun, atas nama agama, bangsa dan tanah air, (ia) kelebihan pada BN-PAS.

“Bak kata orang, Semenyih ni sepuntung rokok saja nak sampai (dekat),” tambah Dr Nadzri.
Sementara itu, beliau turut menggariskan cabaran yang didepani PH bagi PRK Semenyih, termasuk menjawab mengenai manifesto yang belum berjaya ditunaikan.

Ini termasuk serangan di media sosial terhadap beberapa pemimpin DAP seperti Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng.

Malah, Bersatu sendiri berdepan cabaran mempamerkan diri sebagai parti Melayu baru untuk menggantikan Umno dengan ideologi dan polisi yang berbeza daripada ‘Melayu lama’.

“Melayu yang lebih moden, lebih terkehadapan, dan kurang bergantung. Tapi, semuanya masih tidak jelas.

“Mereka masih tercari-cari karakter ‘Melayu baru’ yang mereka cuba lemparkan kepada rakyat,” tambahnya lagi.

Selain BN dan PH, Parti Sosialis Malaysia turut mengesahkan akan meletakkan calon di PRK Semenyih, manakala aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng pula menyatakan hasrat untuk bertanding sebagai calon bebas.


Tiada ulasan: