HALAMAN SANTAI

Khamis, 7 Februari 2019

Tiga penjuru punca BN kalah PRU14, kata Najib

MALAYSIAKINI

   
Bekas pengerusi Barisan Nasional (BN) Najib Razak mengaku bahawa pertembungan tiga penjuru antara Umno dan PAS dalam pilihan raya umum (PRU) ke 14 lalu adalah strategi yang salah.

Bercakap pada sesi dialog di Langkawi, malam tadi, Najib memberitahu hadirin bahawa strategi itu bertujuan memecah undi antara PAS dan Pakatan Harapan supaya Umno mendapat majoriti.

Kata Najib, keputusan untuk Umno bertanding menentang PAS itu berdasarkan kepada keputusan dua Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum PRU14 iaitu di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

“Bila kita buat perkiraan pada peringkat awalnya berdasarkan keputusan di PRK Sungai Besar dan PRK Kuala Kangsar, pertandingan tiga penjuru kita menang besar.

“Tetapi disitulah ada sedikit perkiraan yang tidak tepat. Rupa-rupanya bila tiga penjuru lebih merugikan kita,” kata Najib yang dipetik The Malaysian Insight.

Najib berkata demikian ketika berucap di program “Umno dan PAS Demi Mempertahankan Islam dan Kuasa Melayu” itu Wisma Umno di Langkawi malam tadi.

Turut berkongsi pentas yang sama dengan Najib adalah ketua PAS Pulau Pinang, Zubir Ahmad.

Menurut Najib yang juga bekas perdana menteri, berdasarkan keputusan PRU 14 lalu, PAS dan Umno mampu meraih lebih 30 kerusi pada pilihan raya umum akan datang sekiranya mereka terus bekerjasama.

"Bila kita lihat keputusan PRU14 lalu dengan 30 kerusi, ditambah dengan kerusi dari Sabah dan Sarawak, kita boleh membentuk kerajaan," katanya.

Portal itu juga memetik Zubir sebagai bersetuju dengan Najib, dengan mengatakan bahawa kedua-dua Umno dan PAS akan dapat merampas Kedah pada PRU akan datang jika mereka bekerjasama.

“Kalau jadi gabungan ini, berdasarkan realiti PRU14 lalu, hanya Parlimen Langkawi sahaja yang kalah, yang lain kita mampu menang.

“Di Dun hampir 30 kerusi kita boleh menang daripada 36 kerusi Dun yang ada,” katanya.

Tambah Zubir, Umno dan PAS perlu segera meraih sokongan dengan menggunakan isu Melayu dan umat Islam.

"Apabila orang Melayu dan Islam ditekan, Umno dan PAS mesti mencari jalan untuk bersatu," katanya.


Tiada ulasan: