HALAMAN SANTAI

Jumaat, 3 Mei 2019

'Jangan fikir pasal Sandakan, tumpu kes mahkamah'


   

PRK SANDAKAN | Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengingatkan "seseorang" tertentu untuk berhenti membabitkan diri dalam pilihan raya kecil Sandakan dan memberi fokus kepada kes mahkamahnya.

Walaupun tidak menamakan individu yang dimaksudkan, Lim dipercayai merujuk kepada bekas perdana menteri Najib Razak, yang semalam mempersoalkan sama ada DAP menyalahgunakan kuasa untuk menggunakan kerusi dari Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) dalam ceramah mereka.

"Kerusi di sini hari ini semua disewa. Isu ini pun mahu dimainkan. Dia sudah tidak mempunyai modal lagi.

"Jangan fikir tentang Sandakan. Lebih baik memikirkan (kes) mahkamah anda," kata Lim dalam satu ceramah di Sandakan malam tadi.

Najib sedang menghadapi perbicaraan atas tuduhan pecah amanah dan pengubahan wang yang melibatkan SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB.

Selasa lalu, Najib memuat naik gambar di laman Facebooknya yang mempamerkan kerusi bertanda 'MPS' yang digunakan pada ceramah DAP untuk kempen pilihan raya kecil Sandakan yang sedang berlangsung.

"Adakah aset MPS disalah guna untuk ceramah DAP untuk pilihan raya kecil Sandakan?" katanya.

DAP menafikan perkara itu dengan mengatakan bahawa mereka menyewa kerusi dari Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) dan menunjukkan surat permohonan kepada MPS untuk penyewaan tempat ceramah dan 500 kerusi bagi program malam Isnin di Kampung Sim Sim.

Susulan itu, Najib mendakwa DAP tidak dapat mengemukakan surat kelulusan atau resit untuk sewaan itu. DAP hari ini mengeluarkan surat kelulusan dan penerimaan daripada MPS.

Pada ceramah malam tadi, Lim juga berseloroh mengingatkan pembangkang bahawa dia bukan calon pilihan raya kecil Sandakan.

"Mereka tidak mempunyai isu, mereka tidak mempunyai modal, jadi mereka menggunakan serangan peribadi terhadap saya, menyerang (hentam) saya seperti saya calon di sini. Gambar saya juga muncul di papan iklan.

"Saya ingin memberitahu mereka, jangan tidur, saya bukan calon di Sandakan. Vivian adalah calon di sini, di Sandakan, " katanya, merujuk kepada calon DAP, Vivian Wong.

Papan iklan PBS diturunkan
Parti Bersatu Sabah (PBS), yang meletakkan Linda Tsen dalam pilihan raya kecil Sandakan, telah memasang papan iklan yang mendakwa Lim "mengancam untuk tidak membantu pengundi mengenai isu tempat letak kereta yang tidak mencukupi di Hospital Sandakan".

Papan iklan itu diturunkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya semalam selepas DAP membuat laporan polis.

PBS sejak itu berkata mereka sedang disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan di atas papan iklan. Seksyen 504 berurusan dengan penghinaan yang sengaja dengan niat untuk menimbulkan pelanggaran keamanan.

Ketika ditanya selepas ceramah, Lim enggan mengulas lebih lanjut mengenai papan iklan itu, dengan mengatakan isu itu telah dijawab oleh pemimpin DAP lain.

"Saya tidak mahu memberi kredibiliti kepada fitnah rendah ini, terutama jika tidak benar.

"Marilah kita membentangkan kes kita kepada rakyat, biarkan orang Sandakan tahu mereka (pembangkang) menggunakan pembohongan dan serangan peribadi," katanya kepada pemberita.

Dalam ucapannya, Lim menggesa rakyat Sandakan untuk menolak pembangkang kerana gagal memerangi rasuah ketika mereka berada di dalam kerajaan, gagal membawa pembangunan rakyat kepada negeri itu dan juga kerana tidak mempertahankan status dan hak Sabah di bawah perlembagaan.

Selain daripada Wong dari DAP dan Tsen dari PBS, tiga calon bebas - Hamzah Abdullah, Chia Siew Yong dan Sulaiman Abdul Samad - bertanding untuk kerusi parlimen yang dikosongkan berikutan kematian Stephen Wong, pemimpin DAP yang memenangi kerusi itu pada PRU14 tahun lepas.

Hari pengundian untuk pilihan raya kecil Sandakan ialah 11 Mei.


Tiada ulasan: