Bekas perdana menteri Najib Razak mendakwa polis mengambil
langkah saman sivil pelucuthakkan terhadap aset-asetnya berjumlah RM711
juta kerana sekiranya pihak berkuasa memulangkannya kembali maka mereka
akan membuktikan dirinya tidak bersalah melakukan amalan rasuah.
"Jika dikembalikan, sudah tentu tindakan itu mengesahkan Najib tidak korup dan tidak membeli barangan itu menggunakan wang 1MDB atau sumber wang yang tidak sah.
"Sebab itu, mereka kini menggunakan tindakan lucuthak sivil dan bukan pendakwaan jenayah bagi elak dari memulangkan barangan terbabit," katanya pada hantaran Facebook hari ini.
Hadiah, derma, milik ibu mertua anak
MP Pekan berkata beliau menerima banyak hadiah daripada tamu kehormat luar negara.
Selanjutnya, Najib berkata ibu mertua kepada anak perempuanya pernah mendirikan rumah tangga dengan salah seorang yang paling kaya di dunia.
"Banyak barangan yang dirampas polis juga miliknya - termasuk hadiah yang diterima oleh anak saya dan suaminya," katanya.
Najib merujuk kepada Maira Nazarbayeva, yang pernah berkahwin dengan Bolat Nazarbayev, adik kepada presiden Kazakhstan.
Nooryana Najwa, anak perempuan Najib hasil perkongsian hidup
dengan Rosmah Mansor mendirikan rumah tangga bersama anak Maira,
Daniyar Kessibayev.
Mengenai wang tunai yang
dirampas di hartanah berkait dengannya, termasuk 26 mata wang, Najib
mendakwa duit itu merupakan derma untuk kempen pilihan raya Umno.
"Bagaimanapun, PH telah menggunakan rampasan aset itu sebagai salah satu alat propaganda yang amat kejam untuk memalukan saya dengan menuduh saya memperolehi wang dan barangan itu dari aktiviti tidak sah atau dari 1MDB," katanya.
Serbuan terhadap hartanah yang dikaitkan dengan Najib di Pavillion Residences di Kuala Lumpur pada 18 Mei tahun lepas menyita 72 beg wang tunai dan barang kemas serta 284 kotak beg tangan berjenama.
Pada 27 Jun tahun lepas, polis menyenaraikan barang-barang yang dirampas termasuk tunai RM116.7 juta dalam bentuk 26 mata wang, 567 beg tangan, 423 jam tangan, 234 cermin mata hitam dan lebih 10,000 barang kemas.
Polis menganggarkan rampasan tersebut bernilai antara RM686.37 juta hingga RM1.1 bilion.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan