
KUALA
LUMPUR – Terkenal dengan kelantangan serta kritikan ‘pedas’ yang
ditujukan kepada kerajaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak, Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang hanya membisu seribu
bahasa dalam pelbagai isu penting dalam negara sejak kebelakangan ini.
Malah
pernah pada satu ketika, Najib yang juga bekas Presiden UMNO dan
Barisan Nasional meminta Kit Siang menghentikan segala obsesi beliau
terhadapnya dan meminta beliau menumpukan kepada isu-isu berkaitan
manifesto kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Namun
sejak sekian lama, akhirnya Kit Siang yang juga merupakan Penasihat DAP
mendedahkan punca mengapa beliau menghilangkan diri daripada bersuara.
Kata
Kit Siang, beliau terkesima dengan ‘penipuan’ yang ditularkan dalam
laman media sosial dengan menggambarkan dirinya sebagai satu ancaman
paling besar untuk masyarakat Melayu dan Islam di negara ini.
“Terima
kasih dengan era permodenan teknologi pada masa kini yang juga tidak
kira hebatnya dalam menyebarkan penipuan jahat dengan begitu pantas
sekali.
“Sejak
tahun lepas, ada kiriman dua keping imej saya yang telah disunting
dengan menggambarkan perwatakan diri saya seolah-olah adalah ancaman
besar kepada Melayu dan Islam manakala dalam kalangan bukan Melayu juga,
gambaran negatif kononnya saya menjual hak kepentingan golongan itu.
“Ada dua imej yang telah dikirimkan kepada saya dalam Whatsapp menunjukan diri
saya sebagai ‘tok dalang’ dengan logo PKR, Bersatu dan Amanah manakala
satu lagi gambar saya memberikan arahan kepada Perdana Menteri sambil
diperhatikan oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Mohamad Sabu.
“Ini
adalah satu penipuan yang sangat besar serta fitnah semata-mata. Saya
bukan ancaman kepada yang Islam dan Melayu mahupun kaum lain di negara
ini. Sekaligus, ini satu situasi jika anda buat salah, jika tidak buat
juga salah,” tulisnya dalam laman blog beliau dari Sandakan, Sabah hari
ini.
Kata
Kit Siang lagi, kini Malaysia sudah masuk satu fasa politik yang mana
ia sangat ganas, bertoksik serta penuh kebencian antara kaum dan agama
dengan bermodalkan pembohongan sehingga perpecahan serta polarisasi yang
tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Ini
juga mengapa kelmarin, ketika ceramah di Kampung Mangkalinau, saya
telah tegaskan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan pada 11 Mei nanti
adalah sangat penting untuk membina sebuah Malaysia baharu, Sabah baharu
dan Sandakan baharu.
“Politik kebencian, pembohongan serta kepalsuan yang sedang berlaku ini mesti dengan segera dikalahkan.
“Malaysia
Baharu hanya boleh dicapai seandainya semua rakyat tanpa mengira kaum,
agama, rantau atau latar belakang sosio-ekonomi, mampu membangunkan
potensi keupayaan mereka sepenuhnya dengan membuka jalan bagi Malaysia
untuk bersaing dengan seluruh dunia dan bukannya bersaing dengan satu
sama lain,” katanya.
Tulis
Kit Siang lagi, kemenangan Vivian Wong, calon DAP untuk PH adalah salah
satu cara bagi meningkatkan jumlah Ahli Parlimen dalam kalangan mereka
bagi menyokong pindaan Perlembagaan Malaysia.
“Baru-baru
kita gagal lakukan pindaan Perlembagaan bagi mengembalikan hak Sabah,
Sarawak kerana kekurangan sokongan dalam Parlimen. Kemenangan Vivian
adalah satu kemestian bagi mengorak langkah ini,” ujar beliau.
Kit
Siang juga menyentuh tentang kesungguhan PH serta komitmen dalam
objektif utama mereka dalam mengurangkan kos sara hidup, pembaharuan
institusi, pertumbuhan ekonomi, pemulihan kuasa Sabah, Sarawak selain
membina Malaysia yang inklusif serta sederhana. –MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan