Perselisihan antara Putrajaya dan Istana Johor dikatakan turut menyaksikan cadangan daripada “golongan atasan” berhubung penubuhan sebuah parti politik baru khusus untuk penduduk Johor.
The Malaysian Insight melaporkan, cadangan nama untuk parti itu ialah Parti Bangsa Johor.
Idea untuk menubuhkan parti baru itu dikatakan dibangkitkan selepas beberapa pertemuan melibatkan parti politik dan pertubuhan masyarakat di Johor diadakan.
"Parti baru itu dicadang dinamakan Parti Bangsa Johor," kata sumber kepada portal berita berkenaan.
Cadangan penubuhan parti baru itu dikatakan bertujuan bagi memastikan negeri itu ditadbir oleh orang Johor sendiri tanpa campur tangan pihak dari negeri lain.
“Dalam perjumpaan itu, banyak cakap mengenai kenapa rakyat tidak lagi menyokong institusi diraja. Daripada situ muncul idea Parti Bangsa Johor supaya nampak rakyat menyokong istana.
“Banyak yang Istana Johor buat sebelum dipertikai oleh netizen. Campur tangan orang luar seperti (Perdana Menteri) Dr Mahathir Mohamad yang cuba mengawal Johor menimbukan rasa kurang senang orang Johor.
"Johor seharusnya ditadbir oleh orang Johor,” kata sumber itu lagi, seperti dipetik.
Perselisihan antara Dr Mahathir dan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebelum ini dilihat oleh sesetengah pihak sebagai merenggangkan hubungan antara kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan raja-raja Melayu.
Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin semalam menyifatkan hubungan Putrajaya dan istana masih dalam keadaan baik.
Perdana menteri dan istana Johor baru-baru ini dilihat berselisih, antara lain berhubung isu Statut Rom dan pelantikan menteri besar serta exco negeri.
Perselisihan itu turut menyaksikan Tunku Ismail dalam satu klip video mencadangkan untuk menukar perdana menteri, yang kemudian dibalas oleh Dr Mahathir bahawa hanya rakyat yang boleh memutuskan perkara itu.
Ia kemudiannya mendorong kritikan daripada beberapa pemimpin Bersatu termasuk Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mengkritik Tunku Ismail kerana tidak menggesa bekas perdana menteri, Najib Razak berundur sebelum ini.
Rentetan itu, pada 29 Apr, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar melalui hantaran di media sosialanya menyatakan kesediaan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.
Dalam kiriman Instagram Story, Tunku Idris, 31, berpakaian rasmi diraja, memuat naik pilihan antara parlimen Muar atau Mersing dengan keterangan "I am running #PRU15" (saya bertanding PRU15).
Sementara itu, menurut sumber, cadangan itu umumnya kurang mendapat sambutan kerana dirasakan kurang rasional.
“Ini baru cadangan tetapi ramai yang tidak setuju kerana tidak rasional untuk tubuh parti baru semata-mata untuk menentang Dr Mahathir.
“Orang Melayu akan berpecah lagi,” katanya.
Bagaimanapun cadangan itu sehingga kini dikatakan terus menjadi bahan bualan dalam kalangan ahli politik di Johor namun tidak serancak seperti sebelum ini.
Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Johor Mohd Hairi Mad Shah mendakwa tidak maklum mengenai cadangan itu.
Bagaimanapun beliau menyifatkan cadangan penubuhan parti baru itu tidak wajar kerana anak muda masih lagi bersama Umno.
Malah kerjasama Umno dan PAS juga sudah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada majoriti rakyat di Johor, katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan