HALAMAN SANTAI

Jumaat, 3 Mei 2019

Pemuda Umno tubuh jawatankuasa jadi 'lidah' peneroka


   

Pergerakan Pemuda Umno Malaysia akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi membela nasib peneroka Felda dan pekebun-pekebun kecil di negara ini.

Jawatankuasa yang dinamakan Jawatankuasa Pembela Kebajikan Peneroka dan Pekebun Kecil (Pembela) itu akan menyiapkan satu memorandum bagi merangka dasar untuk mengangkat masalah dihadapi peneroka Felda dan pekebun kecil.

Menurut ketuanya, Dr Asyraf Wajdi Dusuki, memorandum itu akan diserahkan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) supaya dipertimbangkan untuk dilaksanakan.

“Insya-Allah, 11 hari bulan ini kita akan ada satu perbincangan meja bulat atau forum khas dengan kepimpinan kita di peringkat akar umbi untuk kita merencanakan program (jawatankuasa itu) dengan lebih sistematik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mesyuarat sayap parti itu di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur hari ini.

Pembela akan diketuai oleh Anggota Parlimen Paya Besar merangkap Ketua Penerangan Pemuda Umno, Mohd Shahar Abdullah, manakala kajian untuk memorandum itu akan diketuai oleh anggota jawatankuasa eksekutif Pemuda Umno, Shahril Hamdan.

Kata Asyraf, dengan menjadikan media sosial sebagai medium utamanya, Pembela akan menjadi ‘lidah penyambung’ kepada ‘isi hati’ golongan tersebut yang dibelenggu keperitan hidup yang amat merisaukan.

“Rata-rata kami temui, mereka mengadu secara purata pendapatan bulanan hanya sekitar RM200 ke RM250 sahaja.

“Semalam di Felda Palong, ada yang sampai tak dapat bayar bil, elektrik dan air dipotong.
“Perkara yang melibatkan keperluan asas mereka harus diambil kira, kerana mereka ramai, melibatkan 112,635 keluarga peneroka dan 650,000 keluarga pekebun kecil,” katanya lagi.

Menurut Asyraf, perkara tersebut dikenal pasti apabila Pemuda Umno membuat jelajah ke beberapa kawasan Felda seperti di Tanjung Malim, Serting Hilir, Pengerang dan Palong.

'NGO Anak kini entah ke mana'

Ditanya pemberita adakah penubuhan Pembela menjadi tanda kegagalan Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) membela nasib peneroka, Asyraf dengan sinis mengiyakan sambil menyifatkan NGO itu kini sudah ‘hilang entah ke mana’.

“Sepatutnya Anak ini kalau masih berfungsi, Pemuda pun akan menyokong, tetapi masalahnya tak ada NGO yang memperjuangkan nasib peneroka dan pekebun kecil.

“Jadi Pemuda kena ambil insiatif, tapi kita tak akan menghasut dan memfitnah. Itu bukan kerja kita, lagipun mereka ini (peneroka dan pekebun kecil) memang penyokong Umno BN.

“Ini bukan isu sokong siapa, [...] sebagai kerajaan, PH kena bertanggungjawab kepada semua tak kiralah Felda ini menjadi kubu kuat BN pun,” tambahnya lagi.
Kertas Putih Felda tiada yang baru

Selain itu, Asyraf turut mendakwa pembentangan kertas putih Felda yang dibentangkan pada 10 April lalu tidak mendedahkan apa-apa penemuan baru.

“Satu perkara yang PH tutup dan tak ceritakan secara ikhlas ialah, apa yang ada dalam Kertas Putih Felda bukan perkara baru, ia telah pun dimulakan kerajaan BN.

“Isu tadbir urus lemah, pendakwaan ke atas individu tertentu berhubung salah laku, pemulihan, semuanya telah dimulakan sejak zaman Shahrir Abdul Samad (bekas Pengerusi Felda), sebelum PH ambil alih.

“Kita nantikan benda-benda baru, ‘wow factor’ yang boleh angkat maruah dan masa depan peneroka dan pekebun kecil,” tambahnya lagi.

Kertas Putih Felda dibentangkan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali pada 10 April di Parlimen dengan pengumuman bantuan sebanyak RM6.23 bilion bagi memulihkan Felda.

Bantuan tersebut diberikan secara berperingkat dalam bentuk geran, pinjaman dan jaminan kerajaan.

Menurut Azmin lagi, bagi menjayakan pemulihan Felda, kedudukan kewangan semasanya perlu distruktur semula dengan kadar segera melalui penstrukturan semula pinjaman dengan institusi kewangan dan rasionalisasi aset.


Tiada ulasan: