HALAMAN SANTAI

Rabu, 1 Mei 2019

Perbezaan pandangan Dr Mahathir dan TMJ bukan krisis - Redzuan

Oleh Rohaniza Idris

a group of people posing for a photo: MENTERI Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof (tujuh dari kiri) melancarkan logo baharu Co-opbank Pertama (CBP) dan Bank Bergerak CBP di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Saifullizan Tamadi  
MENTERI Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan 
Md Yusof (tujuh dari kiri) melancarkan logo baharu Co-opbank 
Pertama (CBP) dan Bank Bergerak CBP di Kuala Lumpur, hari 
ini. - Foto Saifullizan Tamadi roha@bh.com.my


KUALA LUMPUR: Perbezaan pandangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, bukan krisis antara Putrajaya dengan kerajaan negeri Johor.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, berkata apa yang berlaku itu tidak juga bermakna berlakunya pergaduhan, sebaliknya kedua-dua pihak mempunyai pendapat berbeza dalam isu berkaitan pengasingan kuasa yang di amalkan di negara ini.

Katanya, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjanjikan konsep pengasingan kuasa membabitkan penggubal undang-undang (legislative), pentadbiran (executive) dan kehakiman (judiciary).

“Saya tidak nampak ini sebagai krisis, saya nampak perbezaan pendapat dari sudut hendak mengurus tadbir negeri dan pelantikan (EXCO) dan sebagainya, saya lihat rakyat kebanyakan mahu kita laksanakan apa yang kita janjikan menurut Perlembagaan negara.

“Segelintir kecil saja menidakkan dan saya nasihatkan supaya kita tidak sensasikan isu ini serta bertegas kita akan teruskan mentadbir negara mengikut undang-undang berdasarkan perlembagaan yang ada pada hari ini,” katanya pada sidang media selepas melancarkan logo baharu Co-opbank Pertama (CBP) dan Bank Bergerak CBP di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai polemik antara TMJ dan Dr Mahathir sejak kebelakangan ini berkaitan isu pengasingan kuasa antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan.

Redzuan, yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), berkata mana-mana pihak yang ingin mengkritik pentadbiran negara disaran menyemak semula Perlembagaan Persekutuan.

“Kita sudah janjikan pengasingan kuasa. Jadi, kalau komen daripada pihak lain dari segi pentadbiran negara dan negeri, kita rujuk balik kepada Perlembagaan. Tidak timbul isu pergaduhan cuma berbeza pendapat.

“Ini kita kena berbincang dan kepada pihak yang tidak bersetuju dengan apa yang dibawa oleh kerajaan PH, dari segi keputusan kerajaan pusat mengenai pentadbiran negeri Johor, saya nasihatkan supaya pihak itu belajar mengetahui dan cari pengetahuan.

“Ambil iktibar daripada peristiwa yang lalu supaya tadbir urus negeri adalah daripada kerajaan yang sudah dilantik,” katanya.

Sementara itu, ketika berucap dalam majlis berkenaan, Redzuan berkata, koperasi adalah ‘gergasi yang sedang tidur’ dan mampu menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Katanya, ketika ini koperasi menyumbang 41 peratus kepada KDNK dan kementerian menyasarkan sumbangan gerakan itu boleh meningkat sehingga 50 peratus.

Justeru, katanya, kementeriannya dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sedang mengkaji semula pindaan Akta Koperasi 1993 dan Akta SKM 2007 bagi memastikan pembangunan gerakan koperasi selari dengan hala tuju kerajaan selain menjadi penyumbang kepada KDNK negara.

“Langkah itu juga bagi memastikan koperasi kekal relevan dan kompetitif kepada pembangunan negara. Antara tumpuan utama kajian semula akta ini adalah merasionalisasikan fungsi agensi berkaitan koperasi selain mengurangkan kerenah birokrasi dan memperkukuh ekosistem serta persekitaran koperasi supaya lebih kondusif,” katanya.

Menyentuh Rangka Kerja Keusahawanan Negara (NEF), katanya kementeriannya kini dalam proses untuk memuktamadkan rangka kerja itu menjadi Dasar Keusahawanan Negara yang dijangka dilancarkan pada Julai ini sebagai ‘Dokumen Teras’ kepada dasar kerajaan dalam bidang keusahawanan.

“Dasar Keusahawanan Negara pastinya akan melihat bidang keusahawanan dalam perspektif yang jauh lebih luas,” katanya.

Tiada ulasan: