2 negeri dikategorikan 'kawasan kritikal' kerana dominasi bukan Melayu

KUALA LUMPUR–
Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) bercadang memberikan fokus di negeri
Selangor dan Perak dalam usaha memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan
datang, kata presiden penajanya, Datuk Dr Ibrahim Ali.
Ibrahim, yang juga bekas Anggota
Parlimen Pasir Mas berkata, kedua-dua kawasan berkenaan dikategorikan sebagai
‘kawasan kritikal’ berikutan parti bukan Melayu dilihat lebih banyak
mendominasi pemerintahan negeri.
“Kita berhasrat untuk memenangi
PRU15, justeru bagi pemilihan anggota parti, kita akan tentukan beberapa
kriteria penting yang perlu ada pada setiap anggota parti. Dari segi komitmen
perjuangan Putra adalah kita ingin mendaulatkan Islam serta menjaga kedudukan
kaum bumiputera.
Perjuangan kita berteraskan mendukung
asas perlembagan negara serta meletakkan agama, bangsa dan negara sebagai asas
tunjang,” katanya pada sidang media sempena mengumumkan kelulusan pendaftaran
parti itu oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) di sini hari ini.
Pada 15 Mac lepas, Ibrahim memfailkan
permohonan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar tindakan RoS yang tidak
menjawab permohonan pendaftaran Putra.
Beliau mengemukakan permohonan
kebenaran itu menurut Aturan 53 Kaedah 3(1) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 dan
dalam permohonan itu, Ibrahim memohon perintah mandamus supaya responden
meluluskan permohonan pendaftaran parti tersebut yang telah dikemukakan pada
Ogos 2018.
Surat kelulusan pendaftaran Putra
yang diluluskan semalam, kemudiannya ditandatangani oleh Ketua Pengarah RoS
Masyati Abang Ibrahim mengikut Akta Pertubuhan 1966 dan Peraturan-peraturan
Pertubuhan 1984.
Penubuhan parti yang menggunakan
lambang ‘tanjak’ itu juga berikutan permintaan daripada pelbagai pihak yang
kurang senang dengan situasi politik sekarang.
Putra akan mengadakan mesyuarat agung
pertamanya tidak lama lagi bagi melantik ahli-ahli jawatankuasa serta penubuhan
cawangan parti di setiap negeri seluruh Malaysia.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan