KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini melakukan serbuan ke atas rumah seorang suspek di Bemban, Melaka, berhubung penyebaran kandungan palsu terhadap kerabat diraja dan pemimpin negara di akaun Facebook dan blog disyaki miliknya.
Siasatan awal mendapati, suspek yang menggunakan akaun Facebook dan blog atas nama 'Abu Leman' merupakan pentadbir kepada kedua-dua laman tersebut, kata Ketua Bahagian Penguatkuasaan SKMM, Datuk Mohd Shafie Harun.
"Dalam serbuan tersebut, beberapa peralatan komunikasi seperti komputer riba, modem, telefon bimbit, kad SIM dan kad memori turut dirampas bagi membantu siasatan.
"Rakaman percakapan daripada suspek juga telah diambil,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Cyberjaya hari ini.
Menurut Mohd Shafie, serbuan dilakukan dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka.
Katanya, tindakan diambil selepas pihak SKMM menerima aduan daripada orang ramai berhubung perkara berkenaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau dipenjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali.
Dalam pada itu, Mohd Shafie menegaskan, SKMM tidak akan berkompromi dengan penyebaran berita palsu sebegini dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang berkenaan.
Pada masa sama, pengguna media sosial disaran mempertingkat kawalan kendiri mereka ketika mengakses Internet dan tidak menggunakan platform tersebut untuk menyebarkan kandungan palsu, jelik dan menghina yang boleh mengundang kemarahan dan menjejaskan ketenteraman awam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan