Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim
bertitah mendakwa baginda mengetahui mengenai usaha untuk 'menghabiskan'
pihak istana yang didakwa dirancang oleh "Kadir".
"Tetapi seperti yang saya katakan sebelum ini. Jika kamu mahu menghabiskan kami, kamu perlu menghabiskan kesemuanya. Kamu tidak boleh buat separuh jalan atau 50 peratus. Kamu perlu bersungguh-sungguh dengan 110 peratus," titah pewaris takhta Johor itu pada ciapannya di Twitter.
Menurut TMJ, pihak berkenaan perlu menyelesaikan masalah rakyat.
"Tolong selesaikan masalah rakyat. Itupun kalau sudi," titah baginda lagi.
Walaupun, baginda tidak menjelaskan "Kadir" yang dimaksudkannya itu tetapi dipercayai ia merujuk kepada wartawan veteran A Kadir Jasin yang juga penasihat media kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Menara Ilham di Kuala Lumpur menempatkan pejabat dan galeri seni milik Daim Zainuddin dan Kadir sering berada di sana ketika mesyuarat Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) yang dipengerusikan bekas menteri kewangan itu.
Ketika dihubungi Kadir enggan mengulas mengenai hal ini.
Ciapan Tunku Ismail itu selepas pihak istana Johor dikaitkan
dengan isu tanah yang melibatkan pembinaan Sistem Transit Rapid Johor
Bahru-Singapura (RTS).
Bagaimanapun, Sultan Ibrahim bertitah baginda bersedia untuk menyerahkan salah satu tanah yang terlibat di Bukit Chagar tanpa kos.
Selain daripada tanah seluas 4.5 hektar Bukit Chagar, sebidang lagi tanah seluas 2.4 hektar yang akan digunakan untuk projek RTS juga merupakan milik Sultan Johor.
Secara keseluruhan, RTS akan memakan belanja dana kerajaan sebanyak RM693.7 juta dalam bentuk bayaran pampasan kepada Sultan Johor, yang berjumlah kira-kira 13 peratus daripada keseluruhan kos projek itu.
Tanah yang dirujuk oleh Sultan Johor ialah tanah seluas 4.5 hektar pada LOT PTB 23354, yang akan menelan belanja RM495.3 juta dana kerajaan.
Bagaimanapun, tanah Lot 45419, seluas 2.44 hektar yang akan menelan belanja RM198.4 juta dana kerajaan tidak disebut.
LIHAT TWITTER DI SINI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan