HALAMAN SANTAI

Ahad, 5 Julai 2020

Najib persoal jika tanah diserah pada pekebun kecil Lahad Datu demi selesai kes Liew

Najib Razak mempersoalkan jika kerajaan Sabah akan membatalkan kes saman
Christina Liew selepas pemulangan tanah kepada pekebun kecil di Lahad Datu.

PETALING JAYA: Najib Razak mempersoalkan sama ada keputusan kerajaan Sabah menyerahkan kembali 2 ladang di Lahad Datu kepada pekebun kecil ada kaitan kes pengambilalihan tanah berjuta ringgit membabitkan seorang timbalan ketua menteri negeri itu.

Bekas perdana menteri itu berkata demikian selepas ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal dilaporkan berkata, beliau tidak mahu kes itu dibawa ke mahkamah bagi menjelaskan keputusannya menyerahkan Ladang Bagahak 2 dan 3 seluas 6,900ha kepada pekebun kecil.

Sawit Kinabalu, syarikat yang mengendalikan ladang sawit di Lahad Datu, akan diberikan tanah seluas 18,000ha sebagai pampasan.

Pada 30 Sept 2014, Mahkamah Tinggi Tawau mendapati Christina Liew, timbalan Shafie, bersama 2 individu lain bersalah kerana secara tidak sah mendorong sekumpulan pekebun kecil melanggar perjanjian usaha sama mereka dengan Borneo Samudera, sebuah anak syarikat milik kerajaan negeri Sawit Kinabalu.

Dua individu lain ialah Samsuri Baharuddin, peguam yang mewakili 819 pemilik tanah dalam Skim Pekebun Kecil Bagahak dan Siti Rahfizah Mihaldin, bekas kerani Liew.

Mahkamah memerintahkan Liew dan 2 individu itu membayar pampasan RM577 juta kepada Borneo Samudera.

Liew yang merupakan peguam parti pembangkang ketika itu, membuat rayuan terhadap keputusan itu.

Hari ini, Najib mempersoalkan Shafie jika beliau cuba menyelesaikan kes Liew yang diarahkan membayar ganti rugi RM557 juta kepada Borneo Samudera.

“Dengan pemulangan tanah oleh syarikat milik kerajaan Sabah kepada pekebun kecil yang diumumkan semalam, apa akan terjadi kepada kes Christina Liew? Adakah kerajaan Sabah akan batalkan saman Christina Liew?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

“Jika ini berlaku, harap SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) akan teruskan siasatan.”

Bulan lalu, FMT melaporkan SPRM dipercayai sedang menyiasat kes itu dan pegawainya sudah menemubual pekebun kecil terbabit.

Tiada ulasan: