HALAMAN SANTAI

Sabtu, 4 Julai 2020

Chini kekal milik BN, majoriti meningkat

Muhammad Azizul Osman
MGF040720_KEPUTUSAN-RASMI_03-681x454
Calon Barisan Nasional, Mohd Sharim Md Zain meraikan kemenangan bersama barisan kepimpinan BN termasuk Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri ahmad Zahid Hamidi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N.23 di Pusat Perjumlahan Undi, Institut Kemahiran Belia Negara Pekan, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK

CHINI – Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini menerusi kemenangan calonnya, Mohd Sharim Md Zain, 41 pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu dengan majoriti 12,650 undi.

Menerusi keputusan rasmi yang diumumkan oleh Pegawai Pengurus PRK, Datuk Zaliza Zulkipli jam 9 malam tadi, Mohd Shamim diisytihar pemenang dengan memperoleh 13,872 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan peratusan keluar mengundi pada 74 peratus dengan 239 undi ditolak.

Mohd Sharim menewaskan dua calon bebas, Mohd Shukri Mohd Ramli dan Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin.

Mohd Shukri cuma memperoleh 137 sementara Zainul Hisham pula memperoleh 1,222 undi.

PRK Chini diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 7 Mei lalu.

Pada PRU14, beliau yang juga calon BN memenangi kerusi berkenaan dalam saingan tiga penjuru dengan majoriti 7,675 undi menewaskan calon Pas, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (5,405) dan Mohamad Razali Ithnain dari PKR (1,065).

PRK Chini adalah pilihan raya pertama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa bermula 18 Mac ekoran penularan pandemik Covid-19. -MalaysiaGazette

Tiada ulasan: