HALAMAN SANTAI

Ahad, 20 September 2020

Jangan Percaya, Dakwaan Calon Bebas Mesra BN/PN Adalah Satu Pengkhianatan – Calon BN DUN Gum Gum

 

LIBARAN – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Gum Gum Suhaimi Nasir berkata, dakwaan yang mengatakan calon bebas di DUN tersebut adalah mesra kepada BN dan Perikatan Nasional (PN) adalah tidak benar sama sekali.

Ujar beliau, dakwaan yang sedang tular itu sebenarnya adalah satu pengkhiatan kepada BN/PN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ini.

“Ini adalah satu pengkhianatan kepada BN, isu ini memang sedang tular dan saya memohon kepada wakil daripada PN untuk turut menidakkan dakwaan bahawa calon bebas di DUN ini adalah mesra kepada BN/PN.

“Ini kerana kita sudah sepakat bahawa kerjasama kita hanyalah bersama rakan-rakan dalam PN dan BN, tidak ada calon bebas.

“Jadi, saya berharap agar para pengundi di DUN ini tidak terpengaruh dengan dakwaan seperti itu,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Bercakap soal kempen di DUN tersebut, Suhaimi melahirkan keyakinan yang tinggi untuk menang di kawasan tersebut.

Ini kerana jelasnya, semakin ramai pengundi yang dulunya menyokong Warisan telah menyatakan kekesalan dan kembali menyokong BN.

“Setakat hari ini sudah minggu kedua berkempen, perkembangan sangat baik dan semakin hari semakin ramai kepimpinan Warisan menyertai BN dan menyatakan sokongan kepada BN dan PN. Untuk hari ini, ketua anak negeri juga telah menyokong BN kerana menganggap kerajaan Warisan gagal mentadbir kerajaan negeri,” ujar beliau.

Dalam ucapannya ketika program ramah mesra penduduk di Kampung Sungai Memanjang semalam, Suhaimi berkata, sekiranya diberi mandat dalam PRN ini maka beliau berjanji akan meneruskan kesinambungan agenda pembangunan yang tergendala selepas BN tewas di Sabah.

“Saya berjanji akan memajukan DUN Gum Gum ini Dengan #GGUM iaitu Gum Gum Maju. Gum Gum sebenarnya tidak ketinggalan dari arus pembangunan. Ini terbukti pada tahun 2017 ketika BN memerintah, di Batu 32 dijadikan bandar baru. Kita nak terus majukan kawasan ini… sudah pecah tanah tapi semuanya terhenti bila BN kalah. Segala pembangunan yang kita nak buat telah dibatalkan oleh kerajaan Warisan. Bukan sahaja batal, ‘signboard’ pun dirobohkan.

“Jadi, kena pastikan pada 26 September ini, kita akan memilih BN… kita ubah balik,” tegas beliau. – UMNO ONLINE

Tiada ulasan: