HALAMAN SANTAI

Ahad, 4 Oktober 2020

Ahmad Fayhsal simpati pada Noraini

Wartawan MalaysiaGazette
MGF23092020_SESI-PENGUMUMAN-PEMENANG-PERTANDINGAN-REKA-CIPTA-DAN-INOVASI_06-681x454
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Belia dan Sukan melahirkan rasa simpati dengan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Noraini Ahmad yang difitnah oleh laman-laman media sosial yang tidak bertanggungjawab atas apa jua alasan seperti ‘parody’ dan sebagainya.

Tindakan itu, kata Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal memburukkan lagi keadaan dan menyukarkan Kementerian Pengajian Tinggi untuk mengurus maklumat dan pemegang taruh dalam kalangan mahasiswa dan keluarga mereka.

”Seperti nasihat Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, kita perlu tumpu kepada usaha membendung wabak Covid-19 dan elakkan mengapi-apikan keadaan juga ‘blame game’ (contoh: dengan sebaran gambar ‘parody’, ‘meme’ yang jelas fitnah ke atas YB Menteri Pengajian Tinggi) kerana ianya memburukkan lagi masalah pandemik dan lebih-lebih lagi masalah infodemik Covid-19.

”Saya menyeru semua anak muda untuk menjaga adab dan akhlak kita dalam interaksi media sosial demi kebaikan negara dan masyarakat,” katanya dalam kenyataan di sini.

Ahmad Fayhsal berkata, selain daripada pandemik kesihatan Covid-19 masalah infodemik ini telah mendapat perhatian yang serius oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), juga badan-badan antarabangsa utama seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana ia memburuk dan menyukarkan keadaan buat pihak berwajib mengurus hal-hal berkaitan pandemik koronavirus.

“Kita sedang hidup dalam era pasca kebenaran yang telah mencetus fenomena politik seperti Brexit dan kebangkitan golongan ektremis kanan di serata dunia.

”Semua ini menyumbang kepada ketidakstabilan sosial dan negara yang tidak akan membantu langsung dalam usaha memerangi wabak Covid-19,” katanya sambil menyatakan kerajaan mendengar dan berusaha sebaik mungkin untuk menguruskan semua isu yang timbul. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: