PETALING JAYA: Ketua Pemuda PKR Selangor menepis dakwaan Dr Mahathir Mohamad mengatakan Anwar Ibrahim, enggan bertemunya selepas bebas dari penjara, mengatakan itu antara sebab beliau tidak nampak manfaat melantik presiden PKR itu ke jemaah menterinya sebelum ini.
Najwan Halimi turut memuatnaik di media beberapa gambar pertemuan Anwar dan Mahathir selepas presiden PKR itu dibebaskan dari penjara pada 16 Mei 2018, dan memberitahu FMT bahawa Anwar sentiasa mengulangi komitmennya kepada Mahathir setiap kali selepas pertemuan “rasmi atau tidak rasmi”.
“Tidak timbul isu Anwar tidak memperdulikan Mahathir seperti yang didakwa selepas dibebaskan,” kata Najwan kepada FMT.
“Bahkan, setiap kali ditanya pihak media tentang peralihan kuasa, Anwar tegas menyatakan komitmen menyokong dan meminta Mahathir diberikan ruang sewajarnya untuk mentadbir.
“Justeru, tidak wajar Mahathir menipu dan membuat kenyataan menggambarkan sebaliknya.”
Terdahulu, Mahathir dalam temubual Malaysia Gazette, berkata beliau tidak nampak manfaat melantik Anwar ke jemaah menterinya sebelum ini kerana Anwar “kritikal” terhadapnya walaupun beliau berusaha mendapatkan pengampunan untuk presiden PKR itu.
Katanya, Anwar tidak mahu bersama beliau selepas keluar penjara, sebaliknya berjumpa dengan orang lain seperti raja-raja Melayu dan pemimpin asing.
Dia bukan nak sokong saya sebaliknya dia pula yang kritikal terhadap saya, jadi saya nak lantik dia ke Kabinet macam mana?” katanya dalam temubual itu.
Antara gambar yang dimuatnaik Najwan di Twitter adalah pertemuan Mahathir dan Anwar yang dikatakan pada 5 Jun 2018 di kediaman bekas perdana menteri itu.
Turut kelihatan isteri masing-masing, Siti Hasmah Mohamad Ali dan Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan