PETALING JAYA: Bekas naib presiden PKR, Zuraida Kamaruddin, menepis tuntutan RM10 juta yang dibuat bekas partinya itu sebagai “membuang masa mahkamah”, namun sedia berdepan saman itu.
Beliau tidak terkejut PKR memfailkan “tuntutan tidak masuk akal” itu, mengatakan PKR nampaknya kini bergantung kepada “sensasi dan publisiti murahan” kerana ketiadaan idea untuk menambahbaik kehidupan rakyat.
“Saya tinggalkan PKR kerana ia tidak lagi tumpu pada kebajikan rakyat, tetapi cita-cita perdana menteri seorang lelaki.
“Untuk terus bersama parti seperti itu akan bertentangan dengan hati nurani saya. Tentang saman semberono terhadap saya itu, ayuh!” katanya dalam kenyataan hari ini.
PKR hari ini membuat tuntutan sebanyak RM10 juta terhadap Zuraida, berdasarkan jaminan yang mana beliau bersetuju untuk membayar jumlah tersebut kepada parti itu, sekiranya beliau melepaskan keahlian, menyertai parti lain, atau menjadi wakil rakyat bebas.
Mengikut syarat-syarat bon itu, kata Lee, Zuraida mengakui parti menanggung perbelanjaan yang besar dari segi promosi nama Parti Keadilan Rakyat dan penggunaan lambang dan tanda parti, yang bernilai lebih RM10 juta.
Zuraida bagaimanapun berkata mahkamah tidak akan boleh menguatkuasakan sebarang perjanjian yang menyalahi Perlembagaan Persekutuan, merujuk kepada Perkara 10 dan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nordin Salleh lawan Dewan Undangan Negeri Kelantan.
“PKR nampaknya tidak sedar dalam demokrasi kita, wakil rakyat bebas meninggalkan parti politik mereka. Malah, saya dipecat,” tambahnya.
Dalam kes yang dirujuk itu, Nordin menang kerusi Sungai Pinang atas tiket Semangat 46 pada pilihan raya umum 1990.
Beliau bagaimanapun berhijrah ke Umno pada 1991. DUN Kelantan meminda perlembagaan negeri dan meluluskan undang-undang anti lompat dengan kesan retrospektif bermula 18 Nov 1990.
Speaker kemudian mengisytiharkan kerusi itu kosong. Nordin sekali lagi bertanding tetapi tewas.
Beliau kemudian mendapatkan remedi di Mahkamah Agung pada 1992 yang mendapati pindaan pada perlembagaan negeri itu bertujuan untuk menguatkuasakan disiplin parti, bukan mengenakan sekatan ke atas seorang Adun.
Mahkamah kemudian mengisytiharkan pindaan itu menyalahi Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan berpersatuan. Nordin kemudian kembali sebagai Adun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan