HALAMAN SANTAI

Jumaat, 23 Oktober 2020

Hanya UMNO laksana gencatan politik

   Borhan Abu Samah

Senarai kabinet baharu itu adalah bentuk serangan secara langsung kepada UMNO dan Zahid bagi menunjukkan para pemimpin parti itu sebenarnya hanya tamakkan kuasa dan bukan memikirkan kepentingan rakyat.

Portal berita dan blogger belaan pembangkang dan Bersatu terus melakukan serangan bertumpu kepada UMNO serta Zahid.

Cuma setakat ini tiada kenyataan media dan tindakan terang-terangan sahaja dilakukan.

Mengimbau balik sebelum pengumuman gencatan senjata itu dibuat portal berita belaan Bersatu mendakwa Zahid mengumumkan sedemikian selepas dimarahi oleh para pemimpin lain, tetapi segera dinafikan oleh Tan Sri Annuar Musa yang juga ahli majlis tertinggi UMNO.

Namun difahamkan apa yang berlaku ialah ahli majlis tertinggi UMNO yang berada di dalam kabinet telah berjumpa Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pokok perbincangan pertemuan itu tidak diketahui tetapi menurut sumber ia lebih kepada pertemuan meluahkan rasa tidak puas hati tentang tindakan Zahid kepada Muhyiddin.

Sudah pastilah para menteri berkenaan tidak mahu kehilangan kerajaan dan jawatan menteri masing-masing.

Jika sokongan diberikan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kemungkinan besar mereka kehilangan jawatan menteri yang disandang pada masa ini.

Jadi apabila Zahid mengumumkan gencatan politik suhu agak sedikit menurun, tetapi cuba dipanaskan kembali oleh para pemimpin pembangkang.

PKR tetap dengan pendirian mereka meneruskan agenda untuk membentuk kerajaan baharu dan pastinya berusaha untuk menjayakan usul tidak percaya kepada Muhyiddin pada persidangan Parlimen awal bulan depan.

Pada masa yang sama DAP akan meneruskan serangan terhadap Zahid yang memegang panji perjuangan UMNO.

Bagaimanapun dijangkakan gencatan politik UMNO dengan Bersatu akan bertahan sekurang-kurangnya sehingga melepas fasa ujian apabila undian tidak percaya terhadap Muhyiddin dilaksanakan pada 6 November ini ketika Parlimen bersidang untuk meluluskan bajet bagi pengurusan negara termasuk menangani pandemik Covid-19.

UMNO dan Bersatu sebenarnya tidak akan dapat mengelak daripada bersaing sesama sendiri sehinggalah salah sebuah parti dibubarkan.

Belajar dari sejarah parti Semangat 46 iaitu serpihan UMNO seperti Bersatu berterusan memerangi UMNO sepanjang hayatnya, hinggalah ia dibubarkan dan para pemimpin kembali kepada UMNO.

Ini adalah kerana kedua-dua parti perlu merebut sokongan yang sama iaitu orang Melayu.

Mereka hanya relevan jika mendapat sokongan majoriti orang Melayu.

Oleh itu selagi kedua-dua parti berkenaan wujud mereka akan berterusan berseteru.

Sebab itu ia dinamakan gencatan politik dan bukan perdamaian. Korea Utara dan Korea Selatan tidak pernah menamatkan peperangan, mereka hanya melaksanakan gencatan senjata.

Perang psikologi, hasutan dan perisikan akan terus berjalan bahkan akan bertambah rancak sepanjang tempoh gencatan dilaksanakan.

Namun apabila parti terbesar orang Melayu iaitu UMNO mengumumkan gencatan ia setidak-tidaknya menurunkan suhu politik negara. – SM

Tiada ulasan: