TAHNIAH Datuk Zahid Hamidi (DZH) Presiden Umno yang
menegaskan bahawa Umno tetap bersama MN dan mempertahankan PN. Saya kira
penegasan ini turut menjawab berbagai telahan sebahagian orang yang
mengatakan Umno akan bersama Anwar. Khususnya selepas Anwar
mengisytiharkan beliau mempunyai sokongan ‘kukuh yang meyakinkan’.
Kenyataan itu turut melegakan banyak pihak termasuk ahli PAS dan juga
ahli Umno.
Dalam masa yang sama penegasan DZH itu turut melukai
harapan DAP dan PKR. PKR mengharapkan Umno menyokong Anwar untuk
dinobatkan sebagai Perdana Menteri (PM) ke-9. Manakala DAP berharap
dapat kembali menghirup nikmat atas terbentuknya Kerajaan PH sekali
lagi. Sebab itu Lim Kit Siang (LKS) tanpa berselindung meluahkan
kekecewaannya dengan penegasan DZH itu.
Sebelum ini saya sudah
menyebut bahawa kali ini Anwar sudah sampai ke penghujung ‘jalan mati’.
tiada pilihan selain Anwar harus berhenti setakat itu atau U-turn untuk
kesekian kalinya. Tunjang PN adalah MN. Selagi MN ini diperkukuhkan
bersama oleh Umno dan PAS, selagi itu peluang untuk PH menumbangkan PN
tidak akan tercapai. Insya-Allah dengan statement DZH itu simpulan MN semakin diperketatkan dan sekali gus mengukuhkan Kerajaan PN.
Untuk kesekian kalinya saya menyebut bahawa Umno, PAS dan BERSATU tidak boleh bercerai lagi, kerana jika berlaku penceraian, maka tiada siapa lagi yang akan kuat. Tiga parti Melayu Muslim ini harus berlapang dada demi sebuah kekuatan ummah. Setiap ruang yang membolehkan PH atau DAP bertunas perlu dicantas dan dihalang. Parti mana yang akan mejadi pemimpin dalam PN itu perkara kedua. Perkara yang pertama ialah pastikan PH tidak hidup kembali walaupun sekadar sebagai Zombie.
Ketiga-tiga parti utama dalam PN ini perlu terus mempereratkan jalinan ukhuwah. Lupakan pengalaman pahit antara satu sama lain. ini bukan masa untuk meluahkan keterkilanan masing-masing. Belajarlah dari kekalahan yang lalu. Alhamdulillah Allah masih beri nyawa kepada Umno, walaupun tak menang. Allah masih beri nafas kepada PAS walaupun selalu kalah. Allah masih hidupkan BERSATU walaupun selepas berpisah dengan Kerajaan PH. Semuanya anugerah yang wajib disyukuri. Ummat sudah mula rasa tenang di bawah PN. Maka jangan kecewakan mereka.
* USTAZ MOKHTAR SENIKAhli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan:
Catat Ulasan