HALAMAN SANTAI

Sabtu, 24 Oktober 2020

Letak jawatan sekarang jika tidak setuju dengan Darurat, Wong beritahu Kabinet

Wong Chen berkata, tiada alasan menggunakan peningkatan kes Covid-19 untuk 
mengisytiharkan darurat di negara ini ketika kawalan ketat sudah mencukupi.

PETALING JAYA: Seorang wakil rakyat PKR mencabar anggota Kabinet kerajaan pimpinan Perikatan Nasional supaya meletak jawatan sekiranya tidak bersetuju dengan langkah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang dispekulasi akan mengisytiharkan Darurat di negara ini.

Ahli Parlimen Subang, Wong Chen berkata demikian dalam catatan di Facebook malam tadi, dengan meminta mereka “membuat perkara terhormat dan meletakkan jawatan sekarang.”

“Sekiranya anda terus berpihak kepada perdana menteri, ketahuilah bahawa sekiranya Darurat betul-betul diisytiharkan, pendirian anda itu akan menyumbang kepada penghakisan undang-undang dan hak asasi di Malaysia,” katanya.

Beliau juga merayu semua ahli Parlimen yang bersekutu dengan kerajaan PN yang “mengangkat sumpah untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.”

“Bagi ahli Parlimen yang bukan ahli Kabinet, anda perlu teliti semula sumpah itu sekarang, bukannya menyokong langkah Darurat ini secara membuta tuli.

“Masih belum terlambat untuk ubah pendirian anda, tetapi anda perlu lakukannya secara terbuka dan segera, atau kegagalan anda untuk bertindak akan melumpuhkan Parlimen, dewan yang mulia yang memberi keabsahan kepada politik anda sendiri,” kata Wong.

Beliau juga mengingatkan mereka mengenai legasi yang akan mereka tinggalkan sekiranya menyokong PM dalam isu berkenaan.

“Berdiri di pihak yang benar dalam sejarah. Ubahlah kedudukan anda sekarang dan bersama-sama, majoriti ahli Parlimen yang tidak berpihak boleh menamatkan krisis Darurat yang dibuat-buat ini.”

Wong berkata, tiada alasan untuk menggunakan peningkatan kes Covid-19 bagi mengisytiharkan Darurat di negara ini ketika kawalan ketat sudah mencukupi.

Beliau juga menggesa semua pengundi supaya terus bertenang berhubung spekulasi pengisytiharan Darurat itu.

“Jangan buat pembelian panic, tetapi sebaliknya duduk di rumah bersama orang tersayang dan berdoa untuk negara ini,” katanya.

“Percayalah walau apa pun yang bakal terjadi pada hari-hari mendatang, Perlembagaan Persekutuan dan demokrasi akan terus ditegakkan dan pihak yang cuba memecahbelahkan rakyat akan terpaksa bertanggungjawab ke atas tindakan mereka.”

Semalam, tercetus spekulasi mengenai kemungkinan pengisytiharan “Darurat separa” dibuat selepas Muhyiddin menghadap Yang di-Pertuan Agong di Kuantan.

Sidang Dewan Rakyat akan bermula pada 2 November, dengan Belanjawan 2021 dibentang pada 6 November. Kegagalan meluluskan Belanjawan di Dewan Rakyat akan mengakibatkan kerajaan jatuh.

Tiada ulasan: