HALAMAN SANTAI

Ahad, 18 Oktober 2020

Wanita UMNO tegas 'No DAP' - Noraini Ahmad

Firdaus Azil
Wanita UMNO tegas 'No DAP' - Noraini Ahmad
Noraini berkata, Wanita UMNO berharap semua ahli parti tenang dan tidak membuat sebarang andaian yang boleh menjejaskan keharmonian di dalam parti. - Gambar fail
 
KUALA LUMPUR: Wanita UMNO tegas berpegang kepada keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti untuk tidak mengadakan kerjasama politik dengan DAP.
 
Ketuanya Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, keputusan itu juga merujuk kepada mana-mana pihak yang ada hubungan dengan DAP, termasuk Pengerusi Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Protem Parti Pejuang Tanah Air Tun Dr Mahathir Mohamad.
 
Dalam satu kenyataan hari ini, Ahli Parlimen Parit Sulong itu berkata, mereka akan terus berpegang kepada usaha mengukuhkan Muafakat Nasional.
 
“Wanita UMNO Malaysia sebagai tulang belakang parti akan sentiasa komited dan teguh dengan keputusan parti iaitu tegas senada bersama keputusan mesyuarat Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang telah mempersetujui agar 'no DAP'.
 
"Tidak ada kerjasama dengan sesiapa yang ada hubungan dengan DAP dan terus memperkukuhkan Muafakat Nasional.
 
“Wanita UMNO juga yakin dan percaya dengan kebijaksanaan pucuk pimpinan dalam membawa hala tuju parti demi kepentingan rakyat sesuai dengan status parti keramat di negara ini,” menurut kenyataan itu lagi.
 
Noraini, yang juga Menteri Pengajian Tinggi berkata, Wanita UMNO berharap semua ahli parti supaya tenang dan tidak membuat sebarang andaian yang boleh menjejaskan keharmonian di dalam parti.
 
Semalam, tular surat mengatakan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan beberapa Ahli Parlimen UMNO lain menyokong dan memberi kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada Anwar untuk menjadi Perdana Menteri sebelumnya.
 
Bagaimanapun, Setiausaha Kerja UMNO Datuk Mohd Sumali Reduan tegas mengatakan surat itu adalah palsu dan ia disebarkan untuk menjatuhkan imej Ahmad Zahid. 
 
BACA: Sokong Anwar: Surat palsu untuk jatuhkan imej Ahmad Zahid - SUK UMNO
BACA: Khairy gesa Ahli Parlimen UMNO nyatakan pendirian
BACA: UMNO, BN tidak dapat halang Ahli Parlimennya mahu sokong Anwar - Ahmad Zahid

Tiada ulasan: