KUALA LUMPUR – Usaha untuk membawa ahli-ahli Parlimen UMNO keluar daripada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipercayai tidak mendapat sokongan majoriti bukan sahaja wakil rakyatnya bahkan pemimpin setiap peringkat.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, gerakan untuk membawa UMNO keluar itu dipercayai didalangi beberapa pemimpin UMNO sahaja.
“Pada pandangan peribadi saya, sebenarnya bukan UMNO yang menimbulkan isu-isu ini.
“UMNO secara keseluruhan memilih untuk bersama-sama dengan kerajaan.
“Ramai dalam kalangan pemimpin UMNO dan juga ahli-ahli Parlimen UMNO, memilih untuk menumpukan kepada kebajikan rakyat. Sebab ini masa untuk menjaga kebajikan rakyat.
“Tetapi ada seorang dua sebenarnya yang memilih untuk menimbulkan isu-isu politik ini. Mungkin ada agenda-agenda lain yang timbul dalam keadaan,” katanya kepada pemberita di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti UCSI, Cheras, hari ini.
Beliau mengulas desakan kepimpinan UMNO yang mahu ahli Parlimennya meletakkan jawatan sebagai menteri, timbalan menteri dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebelum 1 Ogos ini.
Pada 21 Jun lalu, Presiden UMNO Datuk, Seri Ahmad Zahid Hamidi memberikan tempoh 14 hari kepada kerajaan PN untuk mengadakan semula sidang Parlimen.
Langkah itu dilihat sebagai alasan bagi Ahmad Zahid mengeluarkan UMNO daripada kerajaan yang sebelum ini enggan memanggil Parlimen dalam kadar segera.
Bagaimanapun, Pejabat Perdana Menteri (PMO) semalam mengumumkan parlimen akan bersidang semula, yang secara kebetulan adalah hari terakhir tempoh yang diberikan Ahmad Zahid.
Dalam pada itu, Wan Saiful berkata, Bersatu enggan mencampuri urusan dalaman UMNO dan memilih berkecuali dalam hal itu.
“Itu proses dalaman UMNO, jadi kita dalam Bersatu kita pilih untuk tidak mencampuri urusan dalaman UMNO.
“Yang penting kita fokus tumpuan kepada menjayakan kempen vaksinasi, pematuhan SOP dan memastikan kebajikan rakyat terjaga,” katanya.
Wan Saiful melahirkan rasa kesal masih ada segelintir pemimpin yang gemar menimbulkan isu politik ketika negara dan rakyat bergelut untuk menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
“Saya agak kecewa juga dalam keadaan kita di peringkat kerajaan secara keseluruhannya memilih untuk memberikan fokus dan tumpuan kepada usaha menjaga kebajikan serta kesihatan rakyat.
“Masih ada beberapa orang yang suka menimbulkan isu-isu politik (keluar kerajaan),” katanya.
Beliau turut mempersoalkan tindakan segelintir pemimpin yang cuba membawa semula Pakatan Harapan (PH) ke dalam kerajaan.
“Saya tak faham kenapa ada kumpulan berusaha untuk membawa balik PH dalam kerajaan.
“Ini persoalan yang hanya boleh dijawab oleh mereka yang mengusaha dan mengisytiharkan ketaatan kepada mungkin kepada cikgu dia.
“Ini bukan satu benda yang kita boleh dijawab atas spekulasi sekarang,” katanya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan