HALAMAN SANTAI

Isnin, 19 Julai 2021

Kurang 10 peratus ahli Parlimen belum isytihar harta

 Oleh KHAIRUL MOHD. ALI

MOHD. Rashid Hasnon (kiri) beramah mesra dengan seorang warga emas, Sophie Ng (tengah) sambil diperhatikan oleh Dr. Sahrudin Jamal ketika hadir pada Program Jelajah Vaksin Bergerak Prihatin Johor di Dewan Serbaguna Sri Stulang di Johor. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU: Majoriti ahli Parlimen sama ada kerajaan mahupun pembangkang telah mengisytiharkan harta masing-masing seperti yang disyorkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon berkata, setakat ini tidak sampai 10 peratus daripada mereka yang masih belum berbuat demikian.

Menurut beliau, pihaknya mempunyai senarai nama ahli Parlimen yang masih belum mengisytiharkan harta masing-masing.

“Parlimen sudah menghantar surat kepada semua ahli untuk mengisytihar harta mereka. Ada antara mereka mempunyai sebab-sebab tertentu tidak dapat isytiharkan harta ketika ini,” katanya selepas melawat Program Jelajah Vaksin Bergerak Prihatin Johor di Dewan Serbaguna Sri Stulang di sini hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal dan Pengarah Sukarelawan dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak Sekretariat Johor Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Azlinda Abd. Latif.

SPRM baru-baru ini mengesyorkan agar satu akta digubal di Parlimen bagi mewajibkan semua anggota pentadbiran, ahli Parlimen dan Dewan Negara mengisytiharkan harta mereka.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil dilaporkan berkata, hal itu kerana sehingga kini, tiada sebarang hukuman jelas boleh diambil terhadap mereka yang tidak berbuat demikian.

Dalam pada itu, mengulas berhubung isu kenduri durian membabitkan dirinya yang tular baru-baru ini di Batu Pahat, Mohd. Rashid memberitahu, perkara itu sedang disiasat oleh pihak berkuasa.

“Durian itu halal, durian kampung,” jawabnya berseloroh apabila ditanya pemberita berhubung isu berkenaan.

Pada 15 Julai lalu, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay memberitahu, pihaknya telah melengkapkan kertas siasatan berhubung kenduri durian di sebuah kebun di Batu Pahat yang dihadiri Ahli Parlimen Batu Pahat itu.

Ayob Khan dilaporkan berkata, kertas siasatan berhubung insiden itu telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Sebelum ini tular video berdurasi 13 saat di media sosial memaparkan Mohd. Rashid menghadiri satu kenduri durian di sebuah dusun di Batu Pahat sehingga menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat yang mana majoriti daripadanya meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap ahli politik berkenaan.

Tiada ulasan: