HALAMAN SANTAI

Ahad, 18 Julai 2021

ADUN Selangor antara 29 ditahan kerana disyaki ceroboh hutan simpan di Pahang

adun
ANTARA kenderaan yang dinaiki oleh ADUN Teratai dan 29 individu lain di Hutan Simpan Ulu Jelai, Lipis, Pahang. - Gambar media sosial

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Bryan Lai Wai Chong bersama 29 individu lain ditahan bagi membantu siasatan kerana dipercayai memasuki hutan di Pos Lenjang, berhampiran Cameron Highlands, Pahang ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut hantaran di media sosial pagi tadi, kesemua mereka serta 11 buah kenderaan pacuan empat roda telah disita oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan memasuki hutan tanpa kebenaran dan merentas daerah/negeri,

JPNP dalam satu kenyataan petang ini mengesahkan jabatan itu menahan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor dan 29 individu kerana didakwa memasuki Hutan Simpan Ulu Jelai di Lipis tanpa kebenaran, pagi ini.

JPNP menerusi kenyataan memaklumkan ADUN lelaki itu bersama kumpulan dari Selangor dan Kuala Lumpur, dipercayai masuk ke hutan simpan berkenaan pada pukul 11 pagi semalam, dengan alasan hendak memberi bantuan makanan kepada penduduk Orang Asli.

“Mereka ditahan kira-kira pukul 8 pagi tadi di Kampung Rakoh, Pos Lenjang di Lipis dan turut disita ialah 11 buah kenderaan pacuan empat roda dipercayai digunakan mereka,” menurut kenyataan itu hari ini.

JPNP memaklumkan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 47 dan 88 Akta Perhutanan Negara 1984, berkaitan keperluan permit memasuki hutan simpan serta kuasa menangkap, menyita dan menyiasat oleh pegawai perhutanan.

Semua suspek dibawa ke Balai Polis Sungai Koyan bagi tujuan saringan kesihatan.

Tiada ulasan: