HALAMAN SANTAI

Selasa, 6 Julai 2021

Bukan saja campur tangan, ADUN DAP bela ‘jenayah’ haram

Siti Hafidah

Dakwaan penceroboh sudah buat bayaran mesti diselidik

BANGI – Video tular memaparkan ADUN parti tamak haloba DAP campur tangan dalam isu pencerobohan tanah milik kerajaan di Raub membuktikan sifat hipokrit wakil rakyat itu.

Ini kerana, mereka bersama-sama membela ‘jenayah’ yang sekian lama dinantikan pengadilannya, kata Presiden BERJASA, Ustaz Haji Zamani Ibrahim.

Beliau berkata, isu pencerobohan tanah haram di Raub bukanlah isu baru, lebih 40 tahun sudah perkara ini diperdengarkan.

“BERJASA mengucapkan tahniah kepada pihak Jabatan Perhutanan Pahang atas tindakan tegas terhadap aktiviti haram yang berlaku di hutan simpan milik kerajaan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Atas dasar itu, beliau menggesa pihak berkuasa membawa penceroboh ke muka pengadilan dengan peruntukan sedia ada.

Katanya, aktiviti pencerobohan tanah haram tiada ‘locus standi’ dan pesalah boleh sahaja didakwa di mahkamah, malah undang-undang berkaitan tanah jelas termaktub dalam Seksyen 48 Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 yang bertujuan melarang pendudukan tanah secara haram.

“Siasatan secara menyeluruh hendaklah segera dilakukan termasuklah mengkaji semula status terkini syarikat-syarikat dan dalang sebenar yang terlibat.

“Maklumat yang menyatakan bahawa pihak penceroboh sudah membuat bayaran mesti diselidiki, kepada siapa bayaran tersebut dibuat dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mesti dilibatkan dalam isu tersebut,” sarannya.

Selain itu, Ustaz Zamani menggesa pihak kerajaan negeri mewujudkan satu unit khas dalam memantau dan mengawal sebarang aktiviti salah laku secara pantas dan tuntas.

Beliau menyarankan, kerjasama daripada ketua kampung dan penghulu serta pimpinan komuniti setempat digarap bersama sebagai mata kepala unit khas tersebut.

“Jadikan semua tanah yang diceroboh selama ini diambil semula dan dijadikan sebagai tanah wakaf kerajaan negeri. Dengan mewartakan sebagai tanah wakaf maka ia boleh dimajukan, namun statusnya sebagai tanah wakaf kerajaan tetap sampai bila bila.

“Penceroboh mestilah dikenakan saman kerana menyebabkan kerugian kepada kerajaan negeri selama ‘jenayah’ itu dilakukan.

“Kerajaan tidak boleh kompromi lagi dalam isu pencerobohan tanah kerajaan, ini kerana pencerobohan tersebut adalah satu pencerobohan kepada kuasa kerajaan,” katanya.

Tiada ulasan: