Nama Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan memiliki majoriti sebelum ini tidak berada dalam senarai Ahli-ahli Parlimen (MP) yang dijemput ke Istana Negara pada Khamis.
Daripada 114 nama MP yang dijemput, nama MP Port Dickson sahaja tidak terdapat dalam senarai tersebut, berkemungkinan namanya sudah terkeluar daripada perlumbaan untuk menjadi calon Perdana Menteri (PM).
Beberapa MP UMNO yang ditanya Agenda Daily mengesahkan berhubung jemputan tersebut dan mengesahkan akan hadir mengikut jadual yang diarahkan.
Berkemungkinan jemputan menghadap Yang di-Pertuan Agong tersebut bagi mengesahkan pendirian berhubung Surat Akuan (SD) yang diarah dihantar semalam selepas berakhir tempoh diberikan.
Sementara itu, difahamkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendahului nama calon-calon PM lain, ia termasuk Anwar.
Jemputan tersebut dihantar kepada MP daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), Bersatu, UMNO, MCA, MIC, PAS, dan beberapa parti lain dan MP bebas.
Tiada dalam senarai ialah MP Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.
Istana Negara sebelum ini mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua parti selepas peletakan jawatan PM Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Anwar pada awalnya mendakwa Muhyiddin hilang majoriti di Dewan Rakyat dan begitu teruja untuk menjadi PM walaupun tidak pasti jumlah angka MP menyokongnya.
Untuk rekod, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama 15 MP yang berada dalam kemnya bertindak menarik sokongan terhadap Muhyiddin, ia diketahui umum terdapat pakatan sulit antara Anwar dengan anak muridnya sebelum.
Zahid dan Datuk Seri Najib Razak sebelum ini pernah menghantar surat ke Istana Negara yang berpendirian menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional dan April lalu juga tular klip audio perbualan mesra Zahid dan Anwar yang sedang merancang komplot.
Pada Isnin, Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun menerusi notis bertarikh 17 Ogos meminta 220 ahli Dewan Rakyat menyerahkan satu SD bagi menamakan seorang calon PM.
Notis itu bagi membolehkan seorang daripada mereka yang mempunyai kepercayaan majoriti dilantik sebagai PM susulan peletakan jawatan Muhyiddin yang juga MP Pagoh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan