HALAMAN SANTAI

Selasa, 17 Ogos 2021

Anwar tawar jawatan TPM kepada Shafie, menurut laporan The Star

 

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mendapat sokongan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk menjadi Perdana Menteri.

Usaha terakhir Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mencukupkan majoritinya untuk menawan Putrajaya adalah dengan menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) kepada Datuk Seri Shafie Apdal, menurut laporan The Star.

Calon Perdana Menteri (PM) blok pembangkang itu didakwa membuat tawaran tersebut kepada Presiden Warisan tersebut bagi memastikan memiliki jumlah Ahli Parlimen (MP) yang cukup untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Permintaan Pakatan Harapan (PH) untuk mendapatkan sokongan lapan MP Warisan penting dan ini mengapa jawatan Timbalan Perdana Menteri diberikan kepada Shafie sebagai melengkapkan perjanjian itu,” kata sumber dipetik dalam portal The Star.

Menurut laporan itu lagi, tawaran itu dianggap sebagai besar dan diterima oleh pihak Warisan.

Terdahulu, Agenda Daily melaporkan Anwar difahamkan sudah berjaya dalam rundingan politik dengan Shafie untuk menyokongnya sebagai PM baharu, bagaimanapun masih menunggu persetujuan dengan 15 Ahli Parlimen (PM) kem Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ketua Pembangkang tersebut memerlukan sokongan 15 MP yang sebelum ini juga menjadi punca kejatuhan dan kehilangan majoriti kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mencukupkan majoritinya untuk menjadi PM ke-9.

Rundingan dengan 15 MP tersebut mungkin dilakukan menerusi perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) yang sebelum ini pernah dicadangkan antara kerajaan PN dengan blok pembangkang sebelum ini.

Menurut sumber, rundingan dengan 15 MP tersebut masih berlangsung dan setakat ini belum menerima sebarang kata putus daripada Presiden UMNO, Zahid.

Tiada ulasan: