HALAMAN SANTAI

Sabtu, 21 Ogos 2021

Apakah Anwar masih mengigau menyebut “saya ada majoriti”

Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal kali ketiga untuk menempatkan dirinya sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Tak dapat melelapkan mata, dia terus bangun menuju perpustakaan mini, mencapai buku Deep Thinking karya Garry Kasparov, dan duduk di kusyen empuk. Membuka helai demi helai sambil menghela nafas.

Menelaah karya pemain catur terulung dunia itu menyusun strategi mengalahkan lawan, dia mencari punca kenapa dia masih tidak mampu menundukkan lawan walau bermacam-macam strategi telah disusun.

Lawannya bukan mesin atau komputer yang mengalahkan Kasparov pada 1997, tetapi manusia sepertinya juga yang makan minum dan memiliki otak serta fikiran.

Ini bukan kali pertama, sebaliknya sudah tiga kali Datuk Seri Anwar Ibrahim kecundang dalam perjuangan merebut kerusi Perdana Menteri (PM) Malaysia.

Jika pun mampu lena, dia mungkin terkejut jaga di tengah malam bermimpikan kerusi Putrajaya itu. Atau mungkin mengigau menyebut “Saya akan menggantikan Mahathir”, “saya ada majoriti…”.

Itulah ungkapan keyakinan yang telah lama didengar sejak dia dilantik Timbalan Perdana Menteri Malaysia Ketujuh pada 1 Disember 1993, oleh PM ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pernah diuji apabila memangku jawatan PM ketika Dr Mahathir bercuti di luar negara selama dua bulan pada awal 1997, Anwar terlupa bahawa langkahnya ketika itu sedang diperhatikan.

Ibarat roller-coaster, demikian juga pusingan roda politik Anwar apabila dilihat lebih mengikut telunjuk Barat, terutama ketika negara berdepan ketika krisis mata wang Asia pada tahun sama memangku jawatan PM, selain beberapa langkah radikalnya yang bercanggah dengan dasar Dr Mahathir.

Politiknya dengan Dr Mahathir menjadi kacau bilau menjelang 1998 susulan serangan sekutu rapatnya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang ketika itu Ketua Pemuda UMNO, terhadap Dr Mahathir yang didakwa mengamalkan kronisme dan nepotisme.

Penerbitan buku 50 Dalil Kenapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM pada tahun itu membawa kepada siasatan polis. Pada 2 September 1998, Anwar yang sudah hampir kepada kerusi PM, dipecat.

Saat itu hilanglah harapan untuk duduk di kerusi PM buat kali pertama. Dan setelah melalui beberapa perbicaraan, Anwar dihantar ke kerusi penjara bukan Putrajaya seperti diidam-idamkannya.

Pada 16 Mei 2018, setelah Barisan Nasional (BN) kalah di tangan Pakatan Harapan (PH) diketuai Dr Mahathir daripada Bersatu, Anwar mendapat pengampunan diraja dan dibebaskan dari penjara. Kemudian dia bertanding di kawasan Parlimen Port Dickson dan menang.

Kembali Anwar ke tengah gelanggang politik tanah air, kali ini mendampingi individu yang menaikkan dan menjatuhkannya. Dr Mahathir menjadi PM sekali lagi di bawah Kerajaan PH tetapi tidak mengangkat Anwar sebagai TPM, sebaliknya isteri Anwar, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kekal sebagai TPM.

Kemelut dalaman PH yang dimonopoli MP DAP bergolak kembali setelah Dr Mahathir tidak menyerahkan jawatan PM kepada Anwar sedangkan sebelum itu Dr Mahathir dikatakan berjanji berbuat demikian.

Kemuncaknya Dr Mahathir meletak jawatan PM, bukan menyerahkannya kepada Anwar. Yang di-Pertuan Agong melantik Dr Mahathir sebagai PM interim sementara PM dan kerajaan baharu dipilih dalam kalangan parti politik sedia ada.

Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu membawa parti itu keluar dari PH. Bersama UMNO, Barisan Nasional, PAS serta parti dari Sabah serta Sarawak, Muhyiddin membentuk PN. Beberapa MP PKR turut sama bergabung.

Dengan majoriti mudah, Muhyiddin ke Istana Negara untuk mengangkat sumpah PM pada 1 Mac 2020 dan membentuk Kerajaan.

Kali kedua Anwar gagal dalam percaturan politiknya untuk menduduki kerusi PM.

Namun, 16 Ogos 2021 lalu kerajaan pimpinan Muhyiddin juga tumbang gara-gara tindakan 15 MP UMNO diketuai Zahid menarik sokongan. Sekali lagi kemelut politik tercetus. Muhyiddin meletak jawatan PM.

Peluang terbuka kembali kepada Anwar. Igauannya selama ini mesti dijadikan kenyataan. Dia mesti berperang habis-habisan bagi mendapatkan sokongan untuk membolehkannya diangkat sebagai PM Kesembilan.

Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua MP menyerahkan Surat Akuan Berkanun (SD) mencalonkan seorang sahaja individu untuk diangkat sebagai PM Kesembilan, sebelum jam 4 petang 18 Ogos 2021.

Dalam tempoh itulah Anwar tidak tidur lena. Bimbang mimpi buruk dua kali terlepas jawatan PM berulang. Digerakkan seluruh jentera PH mencari sokongan.

Hingga ke saat-saat akhir Anwar terus merayu lawan da  AGENDA DAn kawan untuk memberi sokongan kepadanya. Laporan akhir menyebut bahawa dia hanya memperoleh 105 sokongan Ahli Dewan Rakyat.

Seakan tidak percaya, namun hakikat terpaksa ditelannya apabila pagi 19 Ogos 2021 semua MP yang memberi sokongan kepada bekas TPM di dalam Kabinet Muhyiddin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipanggil ke Istana Negara menghadap Yang di-Pertuan Agong. Jumlahnya 114 MP daripada 220 kerusi Parlimen.

Dan semalam, 20 Ogos 2021, Yang di-Pertuan Agong mengumumkan Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera adalah PM Ke-9 Malaysia. Noktah.

Anwar terlepas lagi kerusi PM buat kali ketiga. Terus menjadi ‘PM tepi’.

Anwar menutup buku Deep Thinking dan meletakkannya di meja sebelah, sebelum ke bilik air mengambil wuduk kerana telah masuh waktu Subuh.

Bekas pemimpin pelajar yang mula dikenali di Malaysia setelah sama-sama menubuhkan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan bangkit menentang kerajaan, kini kekal sebagai pembangkang.

Seperti Kasparov, Anwar patut tidak melupakan strategi lawan setelah puluhan tahun bergelumang dengan politik. Kesalahan strategi disusun akhirnya menentang dirinya.

Atau, sebaiknya Anwar melupakan sahaja kerusi PM dan berundur dari politik, memberi peluang kepada pemimpin lain pula memasang angan-angan. AGENDA DAILY

(*)Tok Akhi
Pemerhati Politik Kampung

Tiada ulasan: