HALAMAN SANTAI

Khamis, 12 Ogos 2021

Asyraf Wajdi wajar hentikan ‘tantrum’ dan bersifat kebudakan, fokus rakyat!

Sidang media Ketua Pemuda UMNO, Asyraf Wajdi siang hari ini ternyata menunjukkan betapa kebudakan seorang yang seharusnya bergelar ‘pemimpin’ dalam sebuah parti yang wajar disegani utamanya dalam kalangan orang Melayu, namun dicalar imejnya rentetan perlakuan sebilangan pemimpin-pemimpinnya yang rakus mencari peluang untuk berkuasa demi menyelamatkan diri dari dijatuhi hukuman atas kesalahan jenayah dan pengkhianatan terhadap negara yang disabitkan ke atas mereka di mahkamah.

Tanpa silu, ketua pemuda yang menjadi benteng kepada kluster mahkamah ini bukan sahaja telah menyeleweng tafsiran Perlembagaan Persekutuan yang perlu luhur kita selaku rakyat akur serta menghormati apa yang termaktub di dalamnya, malah selaku pemimpin pergerakan pemuda yang telah membakul-sampahkan perlembagaan juga tidak cakna titah DYMM Agong sebegitu Sultan Johor yang telah menitahkan agar semua ahli politik berhenti berebut kuasa dan memusatkan fokus kepada isu rakyat.

Hakikatnya tindakan Asyraf Wajdi selaku ‘penjaga’ kepada perjawatan Ketua Pemuda UMNO telah melanggar Fasal 3 (3.2) Perlembagaan UMNO itu sendiri kerana secara jelas bertindak bertentangan dengan aspirasi UMNO, Asyraf Wajdi telah berlaku seleweng atas pemahaman Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang jelas menyatakan Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik Perdana Menteri; iaitu seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu.

Persoalan besar yang masih tidak berjawab selain bercanggah dengan sandaran kes yang dinyatakan Asyraf Wajdi yang merujuk kepada kes Dato’ Seri Ir Hj Mohammad Nizar bin Jamaluddin v Dato’ Seri Dr Zambry bin Abdul Kadir (Attorney General, intervener) [2010] 2 MLJ 285. Adalah; i) Siapa yang mempunyai majoriti mengatasi Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk diangkat ke perjawatan Perdana Menteri?; Dan ii) Siapa pula yang Asyraf Wajdi ‘dokong’ untuk diangkat sebagai Perdana Menteri? Anwar Ibrahim? Jangan berselindung, orang Melayu nak tahu!

Saya menggunakan ayat ‘dokong’ bukanlah ‘sokong’ kerana menyedari Asyraf Wajdi bukan seorang ahli parlimen pun, dan saling tak tumpah ibarat ‘langau politik’ yang gemar kepada sampah (kluster mahkamah dan penyelewengan) contoh yang pernah digunakan oleh Presiden UMNO, Zahid Hamidi. Asyraf Wajdi juga nyata ‘Derhaka’ kepada titah Raja-Raja Melayu apabila lebih memilih perpecahan dan mengganggu-gugat usaha Perikatan Nasional dalam tekad membantu rakyat, sedangkan seharusnya Asyraf Wajdi akur kepada perkenan YDPA untuk undi ‘percaya’ dijalankan di parlimen pada September.

Adakah matlamat kelompok ini hanya mahu menjatuhkan kerajaan dengan tanpa rasa tanggungjawab, sanggup membiarkan negara bergelut dengan episod kekalutan seterusnya bagi memilih siapakah Perdana Menteri? Berapa lama pula episod kekalutan ini akan berlangsung tanpa mengisi ruang pentadbiran yang melibatkan kepentingan punca eksekutif? Rakyat semakin muak dan tersiksa dengan perbuatan utamanya yang dipelopori kluster mahkamah ini!

Sedang banyak negara di dunia sepakat tidak menjadikan isu Covid-19 sebagai medan untuk menjatuhkan seteru politik, apatah lagi mengambil kesempatan mencipta kekacauan politik melainkan berganding bahu demi rakyat. Namun hal ini tidak berlaku dalam negara biarpun kerajaan PN melebarkan tangan membuka ruang libat urus berganding bahu membantu rakyat.

Mungkin Ketua Pemuda UMNO ini bertingkah sedemikian sebagai memberi ‘signal’ betapa tidak perlu lagi menghormati aspirasi UMNO kerana dirinya sendiri hanya sekadar ketua ‘penjaga’ kepada sayap sebuah parti yang perlu melaksanakan pemilihan dalam tempoh 60 hari. Nak memahami peruntukan perlembagaan parti sendiri pun gagal, tidak hairan Asyraf Wajdi payah nak faham Perlembagaan Persekutuan.

Adalah lebih baik untuk semua pihak berganding bahu dalam situasi semasa bagi memastikan Malaysia mencapai imuniti kelompok sebegitu menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang semakin menunjukkan hasilnya, dalam usaha semasa kerajaan mengimbangi soal hidup dan kehidupan (life and livelihood)

(*) Mohd Ashraf Mustaqim bin Badrul Munir
Ketua Penerangan ARMADA Bersatu Nasional

Tiada ulasan: