HALAMAN SANTAI

Jumaat, 20 Ogos 2021

Biodata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

 


Ahli Parlimen Bera Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Bekas Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, 61 tahun, suatu ketika menjadi perhatian utama masyarakat apabila saban hari, pada sidang media mengenai Covid-19, sering berpakaian baju batik.

Hinggakan beliau terhibur dengan gelagat warganet yang memadankan pemilihan warna baju batik dipakai beliau dengan pelbagai jenis kuih-muih dan hidangan pencuci mulut.

“Kreatif betul warganet, baju saya dah jadi kuih-muih. Saya ingat saya jadi model batik Malaysia je. Rupa-rupanya jadi model kuih dan ice cream (aiskrim) pula. Terima kasih warganet kerana menghiburkan bukan sahaja saya tapi seluruh rakyat Malaysia,” kata beliau ketika mengulas ulasan orang ramai berhubung corak dan warna dipakai ketika sidang media harian.

Tidak terkejut dengan corak dan warna baju dipakainya kerana menantu beliau adalah pereka fesyen Jovian Mandagie melalui perkahwinan anak sulungnya, Nina Sabrina.

Pada 7 Julai 2021, Ismail Sabri diangkat ke jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan kekal memegang portfolio Menteri Pertahanan, oleh Perdana Menteri ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin – individu pertama yang melangkaui jawatan Timbalan Presiden dan Presiden UMNO untuk menduduki kerusi nombor dua negara.

Ahli Parlimen Bera yang lahir pada 18 Januari 1960 itu adalah Naib Presiden UMNO dan dilantik menyertai Kabinet Muhyiddin serta diserahkan kerusi Kementerian Pertahanan sebagai Menteri Kanan pada 10 Mac 2020.

Menurut Wikipedia, Ismail Sabri melanjutkan pengajian di Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya pada 1980, dan kemudian memulakan kerjaya guaman pada 1985, beliau berkahwin dengan Datin Seri Muhaini Zainal Abidin pada 1986 dan dikurniakan empat anak.

Dunia politik beliau semakin cerah setelah mula menjadi Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Temerloh dengan memegang beberapa jawatan penting. Setelah menceburi politik beberapa tahun kemudian, Ismail Sabri dilantik menjadi Setiausaha Politik kepada Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Datuk Sabaruddin Chik, pada 1995

Kali pertama bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 atas tike Barisan Nasional (BN) di kawasan Parlimen Bera dan menang dengan majoriti 18,051 undi, sekali gus terus diangkat menjadi Menteri Belia dan Sukan oleh Perdana Menteri Kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Lalu, bermulakan langkah Ismail Sabri di dalam Kabinet kerajaan. Pernah menggalas Menteri Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani; dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Dalam masa itu banyak program yang telah diusahakannya, termasuk mewujudkan Kedai Rakyat 1Malaysia, jihad memerangi orang tengah, MARA Digital, dan membandarkan luar bandar.

Ismail Sabri dilihat pada kaca mata umum adalah seorang individu yang simple dalam segala hal. Sikapnya yang mesra dan mudah didekati serta ramah membuatkan kehadirannya di mana-mana pun sentiasa mendapat sambutan masyarakat.

Tiada rekod dan laporan mengatakan beliau terbabit dalam salah laku atau penyelewengan wang kerajaan. Namun, beliau tidak lari daripada mencetuskan beberapa kontroversi kecil seperti seruan boikot, Law Yat 2, pembatalan penajaan Universiti Taylor, vape dan rokok elektronik.

Kenyataannya pada 13 April 2018 menimbulkan kontroversi apabila beliau mengatakan setiap undi untuk DAP adalah seperti memberi kuasa kepada Pakatan Harapan untuk menghapuskan hak istimewa Melayu dan keunikan dalam Islam.

Namun segala kontroversi itu tidak menjadikan beliau tidak layak untuk jawatan Perdana Menteri Kesembilan setelah bergelumang selama tiga dekad dalam dunia politik.

Atas faktor keperibadiannya, pemerhati politik melihat hanya beliau satu-satunya calon yang layak bagi mengisi jawatan Perdana Menteri Kesembilan. Lagipun, beliau menjarakkan dirinya daripada terbabit dengan kumpulan kleptokrasi yang menyebabkan UMNO kalah teruk pada PRU14.

Tidak seperti pemimpin lain yang terjerumus dengan kontroversi, termasuk kes mahkamah, atau tiada pendirian yang jelas, Ismail Sabri tegas dalam senyuman dan kekal dengan prinsip perjuangan demi rakyat.

Ismail Sabri turut dilihat berupaya menyatupadukan semula UMNO yang kini berpecah di bawah ‘caretaker’nya Zahid dan tujuh Ahli Parlimen MP). Malah dari segi sokongan MP UMNO juga, lebih ramai yang berada bersama Ismail Sabri, berbanding mereka yang berada di belakang Zahid.

Ismail Sabri yang mesra dengan Bersatu dikatakan mendapat dukungan 31 MP UMNO yang kekal bersama Perikatan Nasional (PN), berbanding tujuh yang kini masih bersama Zahid.

Pada masa sama Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu, kekal sebagai Pengerusi PN, dan dilihat lebih yakin memberi sokongan kepada Ismail Sabri untuk menduduki kerusi Perdana Menteri.

Tiada ulasan: