PETALING JAYA: Dengan kemungkinan Ismail Sabri Yaakob menjadi perdana menteri ke-9 semakin besar, seorang penganalisis berpandangan naib presiden Umno itu sukar memulihkan kepercayaan rakyat kepada kerajaan dan pada masa sama menstabilkan pentadbirannya.
Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura meramalkan Jemaah Menteri baharu akan dianggotai kebanyakannya individu sama daripada pentadbiran Muhyiddin Yassin memandangkan wakil rakyat yang menyokongnya adalah orang sama yang menyokong presiden Bersatu itu sebelum ini.
Warganet, malah penyokong Umno sendiri, menyifatkan situasi itu hanya seperti menukar nakhoda dan mengkritik ia sebagai “Kerajaan Gagal 2.0”.
Oh percaya pentadbiran Ismail sukar untuk menyangkal label “Kerajaan Gagal 2.0”, kecuali beliau mengecilkan Jemaah Menteri dan membuat perubahan radikal dengan menampilkan wajah baharu, walaupun bukan dalam kalangan Ahli Parlimen.
Namun ini bermakna tidak banyak jawatan boleh diberikan kepada penyokongnya, terutama pemimpin kanan parti politik.
“Jemaah Menteri yang lebih kecil lebih bagus kerana ia sebelum ini dianggotai terlalu ramai menteri yang tidak dikenali dan tidak tahu apakah yang mereka lakukan.
“Tetapi sudah tentu beliau tak akan cukup jawatan Jemaah Menteri untuk diagihkan, justeru kerajaannya tidak akan stabil. Inilah dilema kerajaan baharu nanti,” kata Oh.
Hal yang sama juga akan berlaku bagi jawatan di syarikat berkaitan kerajaan yang sebelum ini diberikan oleh Muhyiddin kepada penyokongnya.
“Jika tak agih (jawatan), Ahli Parlimen takkan sokong. Semudah itu,” katanya.
“Jika mahu kerajaan stabil, maka perlu agih jawatan. Namun dengan berbuat demikian akan jadi seperti ‘Kerajaan Gagal’ lagi.”
Sementara itu, Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia berkata, Ismail harus bijak menilai sentimen masyarakat yang membawa kepada kejatuhan Muhyiddin dan pendekatan yang berbeza perlu diambil jika beliau mengambil alih jawatan itu.
“Beliau mesti menunjukkan kerajaannya berbeza daripada Perikatan Nasional (PN) terdahulu dengan beliau menjadi timbalan perdana menteri dan sebelum itu menteri kanan.
“Ini akan memerlukan Jemaah Menteri yang lebih kecil, pelantikan jawatan GLC berdasarkan kecekapan dan merit, dan pembentukan Jemaah Menteri yang terdiri daripada anggota daripada pelbagai kecenderungan politik,” katanya kepada FMT.
Katanya, merentasi politik dalam pelantikan kerajaan akan dapat mengurangkan “politicking” dan mengelak sebarang usul tidak percaya yang akan mengalih perhatian daripada usaha menangani krisis kesihatan dan ekonomi.
“Walaupun jadi PN 2.0, dasarnya perlu bersifat perdamaian, paling tidak sehingga PRU-15. Kerajaan baharu harus sedar sokongan politik di peringkat kebangsaan terbahagi hampir sama rata antara dua blok politik utama,” tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan