HALAMAN SANTAI

Ahad, 8 Ogos 2021

Dua ADUN UMNO kekal bersama kerajaan PN Kedah


Dua ADUN UMNO Kedah kekal bersama kerajaan Perikatan Negeri (PN).

Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO di Kedah kekal meneruskan sokongan mereka kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) negeri.

Kedua-duanya – ADUN Bandar Baharu, Datuk Nor Sabrina Mohd Noor dan ADUN Sungai Tiang Datuk Suraya Yaacob – dilaporkan berkata mereka tidak menerima arahan untuk menarik diri daripada menyokong kerajaan PN Kedah di bawah pengerusinya yang juga Menteri Besar Sanusi Md Nor.

Memetik laporan sebuah portal berita, Suraya berkata, setakat ini, belum ada arahan daripada UMNO Pusat supaya semua ADUN parti itu menarik sokongan pada peringkat negeri.

“Tiada arahan dari UMNO Pusat untuk tarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional Kedah,” katanya.

Katanya, buat masa ini, semua urusan pentadbiran berjalan seperti biasa dan dua ADUN UMNO di Kedah meneruskan komitmen bersama PN Kedah.

“Jadi ADUN UMNO boleh terus bekerja macam biasa, bawah kepimpinan Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor yang juga Pengerusi PN Kedah,” katanya yang juga Ketua Penerangan UMNO Kedah.

Muhammad Sanusi pada Rabu turut mengesahkan kehadiran Suraya dalam mesyuarat Exco yang diadakan secara maya walaupun Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi membuat keputusan UMNO menari sokongan kepada kerajaan PN dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ini bermakna penarikan sokongan UMNO hanya membabitkan Ahli Parlimen parti itu di peringkat pusat, tanpa menjejaskan kedudukan wakil rakyat UMNO di peringkat negeri.

Untuk rekod PN Kedah diwakili PAS dengan 15 kerusi, Bersatu (enam) dan UMNO (dua).

Sekiranya kedua-dua ADUN UMNO itu menarik diri daripada terus menyokong kerajaan sedia ada, ia langsung tidak memberi kesan berikutan Pakatan Harapan (PH) dan Pejuang hanya mempunyai 13 kerusi.

Tiada ulasan: