HALAMAN SANTAI

Sabtu, 7 Ogos 2021

GPS ulangi pendirian sokong kerajaan PN, Muhyiddin


GPS kekal menyokong kerajaan PN dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) hari ini mengulangi pendirian memberi sokongan penuh kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin,

Pendirian itu diputuskan pada perjumpaan khas Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari Tun Openg, bersama Ahli-Ahli Parlimen GPS di Kuching, petang ini.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas perjumpaan itu, Setiausaha Agung GPS Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata gabungan itu menyifatkan keputusan Muhyiddin untuk mengusulkan undi percaya terhadap beliau pada sidang Parlimen bulan depan, sebagai satu tindakan berani dan bijak, serta pendekatan terbaik berlandaskan Perlembagaan.

“GPS juga menjunjung titah ke bawah Duli Yang Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya pentadbiran kerajaan hari ini diteruskan sehinggalah keabsahannya ditentukan pada sidang Parlimen bulan depan,” katanya.

Alexander berkata GPS juga menyifatkan tidakan mengheret rakyat dalam krisis politik dan cubaan menumbangkan kerajaan dalam keadaan rakyat dan negara sedang berdepan ancaman pandemik Covid-19, hanya akan menimbulkan kegelisahan di kalangan rakyat.

Beliau berkata, keutamaan GPS ketika ini adalah rakyat dan menangani masalah pandemik, mempercepatkan proses vaksinasi serta memulihkan ekonomi negeri dan negara.

Sehubungan itu, katanya, GPS berharap semua pihak menghentikan dahulu politiking dan semua Ahli Parlimen boleh menentukan pendirian masing-masing sama ada mahu menyokong atau tidak usul percaya kepada Perdana Menteri di Dewan Rakyat bulan depan.

GPS adalah gabungan empat parti utama di Sarawak iaitu Parti Demokratik Progresif (PDP); Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB); Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP); dan Parti Rakyat Sarawak (PRS)., yang memiliki 18 Ahli Parlimen.

Tiada ulasan: