HALAMAN SANTAI

Rabu, 11 Ogos 2021

Hanya mesyuarat biasa – Dr. Sahruddin

Oleh NUR ALINA HASSAN

MUAR: Perikatan Nasional (PN) Johor menegaskan pertemuan melibatkan barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada komponen PN termasuk Pas hari ini hanyalah mesyuarat biasa.

Setiausaha PN Negeri, Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata, mesyuarat yang diadakan selama hampir dua jam itu hanya membincangkan mengenai persiapan sidang dewan yang akan berlangsung tidak lama lagi.

“Petang ini mesyuarat kami hanya tertumpu mengenai persiapan Dewan. Tiada isu lain, hanya perbincangan biasa yang sememangnya rutin tatkala menjelang sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Mesyuarat dihadiri hampir kesemua wakil rakyat terdiri daripada barisan komponen PN. Pada kesempatan ini, saya turut merakamkan penghargaan saya dengan menjunjung kasih atas titah Sultan Johor, sebentar tadi.

“Kami rasa bersyukur dengan keprihatinan Tuanku menjaga kestabilan politik di negeri ini,” katanya ketika ditemui di pekarangan Pejabat PN Pagoh, di sini.

Terdahulu, media menerima maklumat satu mesyuarat tergempar diadakan membabitkan kesemua ADUN PN yang diadakan petang ini.

Turut kelihatan pada mesyuarat berkenaan antaranya ADUN Bukit Pasir, Najib Lep yang mewakili Pas dan ADUN Pemanis, Dr. Chong Fat Full.

Sebelum itu, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di laman sosialnya menzahirkan kekecewaan kerana terdapat pemimpin politik yang mengganggu usaha kerajaan dan merebut kuasa sedang rakyat negara ini dalam keadaan susah akibat pandemik Covid-19.

Baginda bertitah agar semua pemimpin mengutamakan kepentingan rakyat dan perpaduan ummah dan bukan sebaliknya demi kepentingan peribadi. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: