Bernama
Ahmad Maslan berkata, Ahmad Zahid menolak untuk dinamakan sebagai calon perdana menteri. - Gambar fail
KUALA LUMPUR:
UMNO berpendapat bekas timbalan perdana menteri dan Ahli Parlimen Bera,
Pahang Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, adalah individu paling layak
untuk dicalonkan sebagai perdana menteri.
Setiausaha
Agungnya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ia susulan penolakan Presiden
UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk dinamakan sebagai calon
perdana menteri, selain timbalan presiden Datuk Seri Mohamad Hasan tidak
memenuhi kriteria, kerana berstatus Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
"Jadi
kita pergi yang nombor tiga (dalam hierarki parti) iaitu Ismail Sabri
yang telah ada pengalaman sebagai menteri yang menjaga COVID-19, sebagai
menteri kanan dan ada pengalaman menjadi ketua pembangkang.
"Beliau
juga ada pengalaman jadi timbalan perdana menteri dan rasa beliaulah
(calon) paling layak dalam senarai yang ada," katanya kepada pemberita
ketika ditemui di lobi Menara Dato Onn di sini hari ini.
Ismail
Sabri ialah Naib Presiden UMNO, manakala Ahmad Zahid adalah Ahli
Parlimen Bagan Datuk, Perak serta Mohamad, ADUN kawasan Rantau, Negeri
Sembilan.
Terdahulu,
UMNO hari ini mengadakan pertemuan dengan Pas yang dihadiri Timbalan
Presiden Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agung Datuk Seri
Takiyuddin Hassan dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Datuk Dr Mohd
Khairuddin Aman Razali.
Sementara itu,
Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, kesemua 18
Ahli Parlimen Pas menyokong penuh Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri
kesembilan, dan menegaskan surat akuan bersumpah telah diserahkan kepada
Istana Negara.
"Kita telah bincang
bersama dan membuat keputusan. Jadi tak ada masalah, Pas kita 'solid'
sokong calon dari Barisan Nasional," kata bekas menteri alam sekitar dan
air itu.
Semalam,
Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun menerusi notis
bertarikh 17 Ogos, meminta 220 Ahli Dewan Rakyat menyerahkan satu surat
akuan bersumpah bagi menamakan seorang calon perdana menteri kepada
Istana Negara.
Notis itu bagi membolehkan
seorang daripada mereka yang mempunyai kepercayaan majoriti dilantik
sebagai perdana menteri, susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin
Yassin yang juga Ahli Parlimen Pagoh Isnin lepas.-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan