HALAMAN SANTAI

Ahad, 15 Ogos 2021

Laporan: Muhyiddin dijangka buat pengumuman penting Isnin

 
Muhyiddin Yassin dijangka membuat makluman sebaik selesai menghadap 
Agong Isnin ini. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Desas desus Muhyiddin Yassin akan meletak jawatan Isnin ini makin bertebaran dengan laporan terbaharu perdana menteri akan membuat “satu pemakluman penting” mengenai diri dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinannya Isnin ini.

“Makluman oleh perdana menteri itu dijangka dibuat pada tengah hari, sebaik beliau selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara,” kata seorang pegawai kanan kepada menteri, Berita Harian melaporkan.

“Dijangka Isnin ada pengumuman (oleh Muhyiddin). Mungkin tengah hari,” kata seorang lagi pegawai kanan kepada menteri.

FMT sebelum ini memetik sumber Putrajaya sebagai berkata Muhyiddin akan meletak jawatan dalam tempoh terdekat, malah “surat letak jawatan sudah disediakan.”

Difahamkan pagi tadi, Muhyiddin mengadakan pertemuan dengan pemimpin Perikatan Nasional (PN), UMNO serta beberapa menteri bagi memaklumkan mengenai hasrat dan rancangannya selepas ini.

Di sebelah petang tadi, beliau mengadakan pertemuan dengan pemimpin utama Bersatu yang dipimpinnya. Esok, Muhyiddin dijadual mempengerusikan mesyuarat bersama Ahli Majlis Tertinggi Bersatu.

Keabsahan Muhyiddin sebagai perdana menteri semakin goyah selepas Umno dan blok pembangkang menolak tawarannya untuk bekerjasama merentas kepartian.

Antara lain, Muhyiddin berjanji memberikan peruntukan sama rata kepada pembangkang selain melaksanakan beberapa pembaharuan demokrasi untuk memperolehi sokongan bagi usul undi percaya terhadapnya diluluskan di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun Umno dan blok pembangkang menyifatkan tawaran itu sebagai sogokan untuk Muhyiddin kekal berkuasa.

Sementara itu, jurucakap Istana Negara yang dihubungi belum dapat mengesahkan berkenaan sebarang majlis mengadap oleh Perdana Menteri bersama Yang di-Pertuan Agong.

Tiada ulasan: