KUALA LUMPUR – UMNO mengambil pendirian untuk mencalonkan naib presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon perdana nenteri disebabkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menarik diri.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan juga tidak layak kerana beliau bukan seorang ahli Parlimen, kata Datuk Seri Mohamad Hasan.
“Presiden UMNO tarik diri daripada dicalonkan dalam mesyuarat MKT dia sebut, dalam mesyuarat Biro Politik pun ada disebut. Orang nombor dua adalah Datuk Seri Mohamad Hasan dan beliau tidak memenuhi kriteria sebagai ahli Parlimen sebab beliau adalah ADUN,” katanya dalam sidang media di lobi Menara Dato’ Onn hari ini.
Turut hadir Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden Pas, Idris Harun dan Datuk Seri Khairuddin Aman Razali.
Disebabkan Ismail Sabri adalah orang nombor tiga dalam UMNO, maka beliau dicalonkan untuk jawatan tertinggi kerajaan itu bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletakkan jawatan pada Isnin lalu.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, Ismail Sabri adalah calon terbaik yang dikemukakan oleh UMNO setakat ini.
“Jadi kita pergi kepada yang nombor tiga dan berpengalaman sebagai timbalan perdana dan menteri kanan dan ada pengalaman jadi ketua pembangkang. Saya rasa beliau paling layak dalam senarai itu,” katanya lagi.
Malam tadi, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO memuktamadkan Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dicalonkan oleh ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) sebagai calon perdana menteri.
Perkara itu disahkan oleh Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.
Untuk rekod, Raja-raja Melayu dijadualkan akan mengadakan mesyuarat di Istana Negara pada Jumaat ini.
Mesyuarat itu dijangka berlangsung pada jam 2.30 petang dan akan mengumumkan keputusan Yang di-Pertuan Agong berhubung keputusan 220 ahli Parlimen yang memilih Perdana Menteri Kesembilan Malaysia. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan