HALAMAN SANTAI

Ahad, 15 Ogos 2021

Muhyiddin tidak gadai prinsip, tidak tunduk kepada kleptokrat sejak era 1MDB


Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media bersama kem yang menyokongnya.

Tan Sri Muhyiddin Yassin akan dikenang rakyat sebagai pemimpin yang tegar tidak tunduk kepada tuntutan kleptokrat dan mengadaikan prinsipnya kepada kumpulan perasuah yang mahu beliau campur tangan dalam kes mahkamah mereka.

Pada 2016, Muhyiddin dipecat jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) kerana melawan kleptokrat yang hebat menyamun dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan sekarang kumpulan sama pula bekerjasama dengan blok pembangkang apabila beliau enggan masuk campur dalam kes mahkamah yang sedang dihadapi mereka.

Hanya kerana prinsipnya untuk tidak berkompromi dengan kumpulan kleptokrat ini, Muhyiddin sekali lagi berdepan ujian sama walaupun berada di puncak kuasa dan boleh sahaja melakukan apa sahaja jika mahu mengekalkan kuasanya.

 

 “TSMY (Muh Muhyiddin) akan dikenang sebagai pemimpin yang sedia hilang jawatan TPM kerana menentang 1MDB dan sekarang bakal hilang jawatan PM kerana enggan campur tangan politik atas mahkamah,” kata pengguna Facebook, Anas Zubedy diruang komen laman rasmi Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, Muhyiddin mengambil jalan berliku tidak mahu terlibat dalam permainan politik kleptokrat dan akhirnya kini mahu dijatuhkan.

Walaupun jika selepas ini bukan lagi menjadi Perdana Menteri, legasinya melawan kleptokrat yang sedang mencatur permainan politik demi survival mereka akan menjadi legasi dan panduan bahawa prinsip adalah segala-galanya bukan kerana mahu berkuasa semata-mata.

Beliau dilemparkan dengan pelbagai tuduhan kononnya kerajaan gagal dan persepsi dicipta kumpulan kleptokrat yang kini sedang bekerjasama dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya memberi tekanan dalam usaha untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) ditadbirnya.

Usaha dan inisiatif yang diperkenalkan kerajaan dalam memerangi krisis kesihatan Covid-19 sudah menampakkan hasil, program vaksinasi yang sedang berjalan sudah berjaya apabila hampir majoriti orang dewasa sudah menerima dos lengkap dan imuniti berkelompok yang disasarkan dijangka akan dicapai pada Oktober ini.

Namun, semua ini tidak diendahkan dan bagi kumpulan kleptokrat mereka lebih suka dilihat menjadi jaguh dalam media sosial memutarbelit fakta serta menghasut rakyat seolah-olah kerajaan sedia ada gagal menangani isu rakyat walhal kerajaan seluruh dunia sehingga kini masih bergelut dalam berdepan krisis paling dasyat pernah dihadapi.

Khabar angin mengatakan Muhyiddin akan meletak jawatan sudah tersebar ke seluruh negara, ramai yang bersedih dan tidak kurang juga yang kecewa apabila seorang pemimpin yang sedang bertungkus-lumus memikirkan masalah rakyat ditekan sebegini rupa hanya kerana tidak mahu tunduk kepada tuntutan kumpulan perasuah.

Dalam laman Facebook Muhyiddin, berlimpah kata-kata semangat diruang komen diberikan kepada Perdana Menteri supaya tidak menghiraukan tuntutan kumpulan kleptokrat yang cuba menjatuhkan kerajaan dan tidak juga yang melahirkan kesedihan mereka apabila diperlakukan sebegini rupa.

“Tan Sri terajui kerajaan pada masa yang tidak stabil… Tan Sri dah buat yang terbaik… Disebabkan politikus yang hendak menyelamatkan diri masing-masing, punah negara.. Hanya mengambil kesempatan atas perpaduan Islam namun mereka juga yang merobohkan… Cukuplah hanya 22 bulan merasa perit… Stay strong Tan Sri,” kata seorang pengguna Facebook bernama Aman Hashim.

Majoriti pengguna media sosial melihat Muhyiddin menjadi mangsa kepada kerakusan kuasa segelintir pemimpin politik yang mahu menjatuhkan kerajaan.

Tidak kurang juga yang menunding jari kemelut politik ini berpunca daripada tindakan blok pembangkang yang kini sudah bersekongkol dengan kumpulan kleptokrat yang menghuru-harakan negara ketika krisis pandemik belum berakhir.

Muhyiddin sudah cuba mencari jalan perdamaian bagi mengelakkan rakyat menjadi mangsa dalam krisis ini tetapi ia ditolak, cadangan kerjasama bipartisan yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana pemimpin sebelum ini termasuk Pakatan Harapan sebelum ini yang memerintah selama 22 bulan.

Jumaat lalu, Muhyiddin menyenaraikan tujuh perkara dalam cadangannya kepada parti-parti pembangkang bagi mengelakkan kejatuhan kerajaan yang menurut beliau boleh mencetuskan risiko kekosongan kuasa ketika negara sedang berdepan pandemik Covid-19.

Antara lain, beliau berjanji untuk menyalurkan peruntukan dana yang sama rata kepada semua ahli Parlimen, menggubal undang-undang anti lompat parti, menghadkan penggal jawatan perdana menteri, dan memastikan perwakilan Ahli Parlimen yang seimbang sama ada daripada kerajaan dan pembangkang dalam Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen.

Muhyiddin juga turut berjanji untuk melaksanakan Undi 18 bagi membolehkan mereka yang berusia 18 tahun ke atas mengundi pada pilihan raya akan datang.

Bagaimanapun, blok pembangkang menolak mentah-mentah cadangan tersebut.

Tiada ulasan: