HALAMAN SANTAI

Sabtu, 7 Ogos 2021

Noh setuju kerajaan PN sah sehingga Parlimen bersidang September

MGF28062021__PPV-TANJONG-KARANG8
Noh Omar

KUALA LUMPUR – “Ya, saya hadir ke perjumpaan Ahli-ahli Parlimen UMNO dengan Timbalan Perdana Menteri pagi tadi,” kata Tan Sri Noh Omar.

Menurut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor itu, tandatangannya pada sekeping kertas sebagai tular di media sosial itu adalah sebagai tanda kehadiran ke perjumpaan berkenaan.

“Tandatangan itu hanya bukti kehadiran mesyuarat berkenaan, bukan surat arahan menyatakan sokongan kepada kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Saya dipanggil ke perjumpaan itu dan saya hadir. Sebaik sampai ke dewan perjumpaan, saya tandatangani atas sekeping kertas sebagai tanda hadir.

“Saya tegaskan tandatangan saya yang tersebar di media sosial itu hanya tandatangan kehadiran bukan tandatangan sokongan atau akuan sumpah,” katanya dalam sidang media hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Tanjung Karang itu, beliau membuat kenyataan itu selepas timbul kekeliruan dengan perjumpaan bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pagi tadi.

Katanya, nama beliau telah dikaitkan antara Ahli Parlimen UMNO yang memberi sokongan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan PN.

Noh berkata, dalam perbincangan itu, beliau bersetuju kerajaan PN masih sah sehingga Parlimen bersidang pada September ini bagi menentukan keabsahan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Menurutnya, beliau akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong yang mahu keabsahan Muhyiddin diputuskan dalam Parlimen dan ia dipersetujui oleh Perdana Menteri yang berjanji usul percaya akan dibawa ke Parlimen September ini. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: