Borhan Abu Samah
BLOK pembangkang kini ibarat gila talak, Ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menawarkan penubuhan kerajaan rentas parti atau kerajaan perpaduan, mereka menolak dengan keras serta sinis.
Kononnya mereka dapat melakukan lebih baik daripada apa yang ditawarkan oleh Muhyiddin yang memimpin kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika itu.
Pemimpin pembangkang telah terhidu ‘darah’ lantas mereka mahu memastikan Muhyiddin bersama-sama seluruh anggota kabinetnya ditendang dari Putrajaya.
Sedangkan tawaran Muhyiddin bukan kerana bersifat kepentingan peribadi, tetapi memikirkan situasi getir negara sedang berperang dengan pandemik Covid-19.
Usaha itu lebih kepada cubaan menstabilkan politik negara hingga populasi mencapai kekebalan kelompok setelah program vaksinasi mencapai 80 peratus penduduk negara ini secepatnya pada bulan hadapan.
Setelah itu akan diberi kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu melalui pilihan raya yang dijangka dapat dilakukan sekitar akhir tahun ini atau awal tahun hadapan, ketika situasi pandemik semakin baik, melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang digerakkan kerajaan.
Akhirnya percaturan mereka tersilap dan Muhyiddin seorang berjiwa besar telah meletakkan jawatan dan kini Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipilih sebagai Perdana Menteri selepas mendapat perkenaan Yang di-Pertuan Agong serta raja-raja Melayu.
Tiba-tiba sahaja isu kerajaan perpaduan bergema lagi. Naratif keperluan sebuah kerajaan sedemikian dengan Kabinet perang kononnya bagi melawan pandemik ditimbulkan oleh blok pembangkang yang kemudian turut disambut segelintir pemimpin UMNO yang sama ada berkepentingan peribadi atau dangkal ilmu politiknya. Bahasa orang Perak ‘tengin’.
Sedangkan PN berjaya memperoleh majoriti 114 ahli Parlimen bagi membolehkan sebuah kerajaan baru dibentuk dengan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.
Ismail Sabri pastinya cukup bijak untuk memastikan kabinet yang bakal dibentuk bukan berbentuk kabinet perang, tetapi bagi mengekalkan keterangkuman.
Pembangkang setelah gagal pusingan pertama untuk mengambil-alih kerajaan dengan melabelkan kerajaan PN sebagai kerajaan gagal, mereka tidak berputus asa kerana melihat peluang masih terhidang di hadapan mata apabila Ismail Sabri masih perlu membuktikan keabsahan sokongan melalui undi percaya pada sidang Dewan Rakyat bulan hadapan.
Pembangkang cuba mengelirukan rakyat dan lebih penting mengeliru ahli-ahli parlimen yang menyokong Ismail Sabri supaya termakan hasutan untuk membentuk kerajaan perpaduan yang kononnya solusi terbaik untuk masa hadapan negara, kerana kerajaan baharu ini tidak akan stabil dengan majoriti yang terlalu kecil iaitu empat ahli parlimen.
Mereka juga sedar bahawa pembentukkan kabinet oleh Ismail Sabri selaku perdana menteri kesembilan akan menentukan sokongan 114 ahli parlimen itu kekal atau tergugat.
Blok pembangkang sebenarnya telah ‘mati langkah’ apabila menolak mentah-mentah pelawaan Muhyiddin tempoh hari dan usaha menghidupkan balik naratif keperluan pembentukan sebuah kerajaan perpaduan yang kononnya bertujuan menangani pandemik Covid-19, sudah memakan diri sendiri. Sedangkan semua yang disebut itu telah dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan PN menerusi Pelan Pemulihan Negara yang jelas menampakkan kejayaan terutama dalam aspek pemberian vaksin kepada rakyat.
Sebagai contoh, setakat semalam Operasi Lonjakan Kapasiti yang dilancarkan bulan lalu, sejumlah 76.2% penduduk dewasa di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sudah menerima lengkap dua dos. Menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), sebanyak 51.6% atau 12.07 juta populasi dewasa negara ini telah melengkapkan dos suntikan vaksin Covid-19 setakat semalam.
Blok pembangkang memang telah terbukti tidak mampu bersatu kerana masing-masing bersikap seperti jeneral perang yang mahu mencapai kepentingan peribadi dan kelompok masing-masing sahaja.
Datuk Seri Shafie Apdal dari parti Warisan yang mempunyai lapan ahli parlimen meletakkan harga mati iaitu dipilih sebagai calon perdana menteri, manakala Tun Dr. Mahathir Mohamad dari parti Pejuang yang mempunyai empat ahli parlimen, tetap dengan pendiriannya mahu mengetuai Majlis Pemulihan Negara dengan diberi kuasa eksekutif seperti perdana menteri.
Itu belum Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sejak sekian lama tidak pernah padam memasang cita-cita untuk menjadi perdana menteri sejak 1993 lagi.
Ini bermakna jika mahu menyatukan kesemua blok pembangkang perlu disediakan tiga kerusi untuk jawatan perdana menteri dalam bentuk apa jua. Bagaimana di satu puncak gunung ada tiga ekor singa yang galak untuk berkuasa? Pastinya ia tidak akan berlaku. Akhirnya mereka berbunuh sesama sendiri.
Jadi tiga ekor singa itu kini cuba mengalih tumpuan kepada usaha menjatuhkan kerajaan yang bakal ditubuhkan oleh Ismail Sabri.
Selain perlu membuktikan keabsahan di parlimen pada bulan hadapan, Ismail Sabri juga akan berdepan dengan satu lagi rintangan iaitu untuk meluluskan belanjawan negara pada bulan November.
Jika kerajaan mampu melepasi dua halangan itu, blok pembangkang akan berusaha mendapatkan sokongan rakyat melalui pilihan raya walaupun dengan apa cara juga termasuk menyebarkan fitnah sebagaimana mereka lakukan pada pilihan raya lalu.
Anwar pastinya mahu mengetuai jentera pilihan raya pembangkang kali ini, kerana pada pilihan raya yang lalu beliau masih merengkok di dalam penjara dan hanya dibebaskan selepas mendapat pengampunan diraja, selepas pilihan raya.
Jadi ini juga peluang terakhir buat Anwar untuk menjadi perdana menteri ke-10 dan penentu hidup atau mati karier politik beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan