UMNO mungkin monopoli posisi dalam kementerian penting: Penganalisis
BANGI – Tidak mustahil pembentukan Kabinet baharu akan mengekalkan muka lama dari kerajaan Perikatan Nasional (PN), sekiranya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik menjadi Perdana Menteri ke-9.
Mengelakkan perkara itu berlaku, menjadi tanggungjawab Perdana Menteri baharu untuk mengecilkan saiz Kabinet, memandangkan kerajaan terdahulu mempunyai jumlah jemaah menteri yang besar.
Penganalisis politik, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, dalam keadaan negara ketika ini, kerajaan baharu perlu mempertimbangkan semula untuk mengurangkan saiz Kabinet yang dibentuk bagi mengawal perbelanjaan.
“Perkara ini perlu disemak kembali dengan serius apakah perlu atau tidak jumlah Kabinet yang amat besar.
“Kita faham bahawa PN itu hidup atas sokongan parti-parti politik yang berbeza, dan sudah tentu bagi membalas budi atas sokongan maka diberikan kerusi di dalam Kabinet,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.
Atas dasar itu, beliau melihat menjadi satu tugas besar bagi Perdana Menteri baharu untuk berusaha mengurangkan jumlah anggota Kabinetnya, demi menjaga kerjasama antara komponen parti yang menyokong.
“Bagaimanapun, saya kira Perdana Menteri mesti berusaha juga untuk mengurangkan birokrasi dalam Kabinet itu sendiri.
“Ini kerana jumlah kakitangan awam yang ada juga sudah besar iaitu sehingga dua juta, kemudian Kabinet juga besar. Maka, dari segi perbelanjaan juga besar,” katanya.
Pada masa sama, Dr Nik Ahmad Kamal menjangkakan jika berlaku perubahan dalam Kabinet baharu, ia mungkin membabitkan pertambahan atau monopoli UMNO dalam beberapa kementerian penting.
“Saya pasti ia bergantung pada siapa yang akan dilantik dalam Kabinet baharu nanti. Adakah ramai orang UMNO atau adakah ramai dari Bersatu?
“Perkara itu penting untuk menentukan sama ada gabungan ini akan berterusan atau mungkin boleh berpecah kembali.
“Tetapi, saya kira posisi penting dalam Kabinet seperti pelajaran, kesihatan, pertahanan, kewangan dan MITI akan diisi oleh UMNO sekurang-kurangnya tiga atau empat bahagian tersebut sebelum diagih kepada gabungan lain,” katanya.
Esok, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijangka mengumumkan keputusannya berhubung pencalonan 220 Ahli Parlimen yang memilih Perdana Menteri.
Kemungkinan Ismail Sabri dipilih sebagai Perdana Menteri semakin tinggi selepas 114 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dipanggil bagi mengesahkan surat akuan bersumpah (SD) sokongan mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan