HALAMAN SANTAI

Khamis, 12 Ogos 2021

Saksi dedah hubungan Najib-Jho Low, Najib telefon Jho Low dalam mesyuarat 1MDB


Hubungan rapat Datuk Seri Najib Razak dengan ahli perniagaan, Jho Low didedahkan seorang saksi.

Bekas pengarah strategi korporat 1MDB, Kelvin Tan yang juga saksi perbicaraan kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mendedahkan hubungan rapat Datuk Seri Najib Razak dengan ahli perniagaan Low Taek Jho.

Hubungan rapat tersebut digambarkan dalam satu mesyuarat ahli lembaga pengarah 1MDB pada 2009, ketika itu bekas Perdana Menteri itu menghubungi Low pada 26 September tahun itu bagaimanapun kehadiran Low tidak dicatatkan dalam senarai kehadiran dan minit mesyuarat.

Saksi memberi keterangan semasa perbicaraan hari ini terhadap Najib dan bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB, K Arul Kanda.

Pengakuan tersebut didedahkan semasa pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustafa P Kunyalam kepada Tan.

Mustaffa: Kamu kata Jho Low serahkan telefon kepada Bakke, mengatakan bahawa itu adalah PM. Siapa PM ketika itu?

Tan: Najib Razak.

Untuk rekod, Tan Sri Mohd Bakke Salleh adalah Pengerusi 1MDB ketika itu.

Sebelum ini, bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, yang turut menghadiri mesyuarat itu memberi keterangan keputusan dibuat pada hari itu untuk menyingkirkan isu kehadiran Low dalam mesyuarat Ahli Lembaga 1MDB 2009.

Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul, 44, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Kedua-dua mereka didakwa menurut Seksyen 23(1) dan 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Tiada ulasan: