HALAMAN SANTAI

Rabu, 11 Ogos 2021

Selepas 2 kali tangguh, bicara kes rasuah Zahid sambung 25 Ogos

Ahmad Zahid Hamidi berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah 
SGD13.56 juta daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB).

SHAH ALAM: Selepas dua kali ditangguh berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0, perbicaraan kes Ahmad Zahid Hamidi yang menghadapi 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN), akan bersambung pada 25 Ogos ini.

Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran ketika dihubungi Bernama menerusi WhatsApp hari ini berkata, perbicaraan kes bekas Timbalan Perdana Menteri itu akan berlangsung selama tiga hari, iaitu pada 25 Ogos, 1 dan 2 Sept di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Mohd Yazid Mustafa.

“Pihak pendakwaan akan memanggil dua atau tiga saksi untuk memberi keterangan pada 25 Ogos itu,” katanya.

Zahid, 68, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SGD13.56 juta daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) sebagai dorongan kepada dirinya sebagai seorang pegawai badan awam, iaitu Menteri Dalam Negeri, untuk melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan di Country Heights, Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Zahid didakwa sebagai menteri sama telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SGD1,150,000, RM3,000,000, EURO15,000 dan USD15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi beliau.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Country Heights antara Jun 2015 dan Oktober 2017 serta dituduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tiada ulasan: